
ORANG ramai melihat bahagian yang rosak di Lebuhraya Shahrah-e-Bhutto selepas hujan monsun lebat di pinggir Karachi pada 17 September 2025 lepas. Foto AFP
ISLAMABAD: Angka korban akibat hujan lebat dan banjir di Pakistan sejak 26 Jun telah melebihi 1,000 orang, dengan lebih 1,000 lagi cedera, menurut pihak berkuasa pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA), sekurang-kurangnya 504 orang maut di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa, 300 di Punjab timur laut, 80 di Sindh selatan, 30 di wilayah barat daya Balochistan, 41 di Gilgit-Baltistan, 39 di Kashmir yang ditadbir Pakistan (juga dikenali sebagai Azad Jammu dan Kashmir), serta sembilan di Islamabad.

Daripada jumlah 1,002 kematian, seramai 274 adalah kanak-kanak, 163 wanita dan 565 lelaki.
Banjir dan hujan lebat turut menyebabkan kerosakan besar infrastruktur, dengan lebih 12,000 rumah rosak termasuk 4,128 musnah sama sekali, selain 6,509 ternakan mati di seluruh negara.
Musim monsun telah menimbulkan kemusnahan besar, dengan ribuan penduduk dipindahkan di Punjab, Sindh dan Khyber Pakhtunkhwa.

SEBUAH stesen minyak dan kedai-kedai yang ditenggelami air banjir kelihatan berhampiran lebuh raya yang ditutup akibat kerosakan oleh banjir di Jalalpur Pirwala, dalam daerah Multan di wilayah Punjab, pada Rabu lepas, selepas Sungai Chenab melimpah berikutan hujan monsun lebat. Foto AFP
Banjir di Punjab sahaja menjejaskan lebih 2.4 juta orang, manakala 2.6 juta lagi telah diselamatkan dari kawasan terjejas.
Bencana kali ini, yang dianggap antara terburuk dalam sejarah Pakistan, turut memaksa puluhan ribu penduduk berpindah di kawasan hilir Sindh selatan.

Sungai Indus ketika ini berada pada paras banjir tinggi hingga sederhana apabila air banjir mengalir ke hilir, menurut Bahagian Ramalan Banjir (FFD).
Pada akhir Ogos, India yang turut dilanda hujan lebat, membuka pintu beberapa empangan utama di sungai-sungai yang dikongsi di bawah Perjanjian Air Indus, dengan memberi amaran bahawa pelepasan itu boleh menambahkan banjir di hilir Pakistan. Pelepasan air tersebut meningkatkan lagi paras banjir di Punjab.

Buat pertama kali dalam sejarah 78 tahun Pakistan, tiga sungai timur – Sutlej, Jhelum dan Chenab -serentak berada pada paras banjir yang “amat tinggi”, menurut pihak berkuasa tempatan.
Pegawai memberi amaran bahawa banjir kali ini adalah yang terburuk sejak bencana besar pada 2022 yang meragut lebih 1,700 nyawa, menenggelamkan hampir satu pertiga negara dan menyebabkan kerugian infrastruktur dianggarkan berjumlah US$32 bilion. – Bernama-Anadolu