RUNTUH… Penduduk melihat jalan RN25 yang sebahagiannya runtuh di Ranomafana berikutan hujan lebat yang dibawa Taufan Tropika Batsirai di Madagascar. • Foto AFP
ANTANANARIVO: Angka kematian akibat Taufan Tropika Batsirai meningkat kepada 92 orang di Madagascar, kata pihak berkuasa semalam ketika organisasi kemanusiaan meningkatkan usaha bantuan dengan lebih 110,000 orang memerlukan bantuan kecemasan.
Pejabat Kebangsaan bagi Pengurusan Risiko dan Bencana (BNGRC) mengeluarkan data dari wilayah yang paling teruk terjejas mendedahkan bahawa 71 daripada yang maut berada di Daerah Ikongo, berhampiran pantai timur negara pulau Lautan Hindi itu.
Ketua Pengarah BNGRC, Paolo Emilio Raholinarivo berkata, Batsirai yang mendarat pada hujung minggu telah menyebabkan 112,000 orang memerlukan bantuan kecemasan dan memaksa 61,000 orang meninggalkan rumah mereka.
“Ia adalah kemusnahan di sini. Kebanyakan mangsa maut selepas rumah mereka runtuh,” kata Brunelle Razafintsiandrofa, Ahli Parlimen dari Ikongo yang dihubungi AFP melalui telefon.
Banyak Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mula mengerahkan sumber dan pasukan untuk membantu mangsa taufan yang membawa hujan lebat dan angin berkelajuan 165 kilometer sejam.
Perancis menghantar 60 pekerja kecemasan untuk membantu menyediakan kemudahan untuk membersihkan air minuman dan menerbangkan dron untuk menilai kerosakan di kawasan yang sukar dicapai.
Taufan tropika itu melanda Madagascar pada malam Sabtu lalu di kawasan pantai timur sepanjang 150 kilometer, penduduk yang jarang dan menjalankan aktiviti pertanian.
Apabila taufan itu bergerak ke pedalaman, ia menyebabkan banjir yang memusnahkan sawah di ‘Bakul Makanan’ pusat negara itu, menimbulkan kebimbangan krisis kemanusiaan.
Menurut BNGRC, pakar Jerman telah tiba di negara itu bagi menyokong tindak balas kemanusiaan di kawasan laluan Batsirai.
Kerja-kerja pembaikan dan kemanusiaansedang dijalankan di 20 jalan dan 17 jambatan yang runtuh dan mempunyai kampung terpencil.
“Kami pasti bahawa sawah bagi tanaman padi rosak dan sumber makanan hilang.
“Ini adalah tanaman utama bagi rakyat Malagascar dan mereka akan terjejas teruk dalam keselamatan makanan dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang jika kita tidak melakukan sesuatu dengan segera,” kata Pasqualina DiSirio, Pengarah Program Makanan Sedunia di negara itu.
Sementara itu, agensi PBB turut mengedarkan makanan panas di Manakara, salah satu kawasan yang paling terjejas.
Palang Merah Perancis melancarkan rayuan bantuan dan mengerahkan 87 tan bantuan kemanusiaan daripada kemudahannya di Madagascar dan Pulau Reunion Perancis yang berdekatan.
Banyak organisasi bantuan, termasuk Action Against Hunger, Handicap International, Save the Children dan Medecins du Monde, telah digerakkan menjelang taufan, mengatur peralatan dan ubat-ubatan.
Di samping bantuan yang disediakan oleh kerajaan, mereka memberikan bantuan kepada mangsa seperti makanan, penjagaan kesihatan primer dan pengagihan peralatan dapur, selimut, produk kebersihan.
Kira-kira 77 peratus daripada 28 juta penduduk Madagascar hidup di bawah paras kemiskinan dan tamparan terbaharu berlaku semasa kemarau teruk di selatan yang telah menjerumuskan lebih sejuta orang ke dalam kekurangan zat makanan yang teruk, sesetengahnya menghadapi kebuluran.
Madagascar masih mengambil bahagian selepas Taufan Tropika Ana menjejaskan sekurang-kurangnya 131,000 orang di seluruh pulau itu lewat bulan lalu dengan kebanyakan daripada 55 kematian berlaku di ibu negara Antananarivo.
Taufan Tropika Ana juga melanda Malawi, Mozambique dan Zimbabwe menyebabkan puluhan kematian. -AFP