
HONG KONG: Angka kematian dalam kebakaran terburuk Hong Kong sejak beberapa dekad lalu meningkat kepada 160 orang selepas satu lagi mayat dikenal pasti, manakala enam orang masih dilaporkan hilang, kata polis hari ini.
Kebakaran yang memusnahkan kompleks pangsapuri bertingkat tinggi lewat bulan lalu itu digelar sebagai kebakaran kediaman paling dahsyat di dunia sejak 1980. Pihak berkuasa sebelum ini melaporkan 159 kematian, namun angka itu bertambah selepas ujian forensik mendedahkan satu kumpulan mayat mengandungi dua mangsa.
Pesuruhjaya Polis Joe Chow berkata, identiti 120 mangsa telah dikenal pasti melalui ujian DNA dan cap jari. Beliau menambah, polis menemui rangka manusia yang disyaki ketika membersihkan perancah runtuh di sekitar menara, yang kini menunggu keputusan ujian lanjut.
Pihak berkuasa menjelaskan kebakaran menjadi lebih buruk kerana penggunaan jaring perlindungan pada perancah buluh serta papan buih di tingkap yang tidak memenuhi piawaian ketahanan api, menyebabkan api merebak pantas.
Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee, minggu lalu mengumumkan penubuhan jawatankuasa bebas diketuai hakim untuk menyiasat tragedi itu. Setakat ini, polis menahan 15 individu daripada syarikat pembinaan atas tuduhan membunuh tanpa niat, serta enam lagi berhubung sistem penggera kebakaran yang gagal berfungsi. -AFP