

KATHMANDU: Angka kematian akibat bencana yang dicetuskan oleh hujan lebat di Nepal meningkat kepada 51 orang, lapor Xinhua yang memetik agensi kerajaan pada Selasa.
Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Nasional dalam satu kenyataan, 38 mangsa maut akibat tanah runtuh, 10 akibat banjir dan tiga lagi akibat dipanah petir.
Enam orang masih hilang, termasuk lima yang dihanyutkan banjir, manakala 47 lagi cedera, menurut kenyataan itu.
Agensi keselamatan yang diketuai oleh Tentera Nepal menyelamatkan 1,337 orang di 15 daerah, menurut tentera.
Infrastruktur di Nepal, termasuk lebuh raya dan stesen janakuasa hidroelektrik, turut rosak akibat bencana yang berpunca daripada hujan berterusan sejak petang Jumaat lepas.- Bernama-Xinhua