Angka kematian banjir kilat Nepal-China cecah 1,000, lebih 4,000 hilang

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA penyelamat mengeluarkan peti simpanan dari sebuah bank yang dilanda banjir selepas banjir kilat di Trishuli Center, daerah Nuwakot, Nepal pada 1 September 2026. Gelombang besar air sejuk beku dan serpihan, yang berpunca daripada keruntuhan glasier di sempadan China-Nepal, mengorbankan sekurang-kurangnya 939 orang dan menyebabkan hampir 4,500 lagi masih hilang. Kathmandu memberi amaran bahawa kos pembinaan semula boleh mencecah "berbilion-bilion dolar". Foto AFP

ISTANBUL: Angka kematian akibat banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan Himalaya melonjak melebihi 1,000 orang pada Selasa, seminggu selepas bencana alam itu melanda kawasan sempadan antara Nepal dan China, menurut data rasmi yang dilaporkan Anadolu Ajansi.

Menurut Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMA) Nepal, pasukan mencari dan menyelamat mengesahkan 84 lagi kematian, menjadikan jumlah korban di sebelah sempadan Nepal sebanyak 987 orang, manakala 3,916 individu termasuk 583 warga asing masih hilang.

ORANG ramai menghadiri upacara memperingati mangsa tanah runtuh di balai polis Pelabuhan Gyirong, Kaunti Gyirong, wilayah Tibet barat China pada 1 September 2026. Foto AFP

Pihak berkuasa itu menambah sebanyak 639 kakitangan yang bertugas di stesen jana kuasa hidroelektrik antara yang hilang.

Pihak berkuasa China pula mengesahkan 16 kematian sementara usaha mencari 546 individu yang hilang termasuk 261 warga asing masih diteruskan.

Data daripada kedua-dua pihak menunjukkan jumlah keseluruhan kematian mencecah 1,003 orang manakala kira-kira 4,462 individu termasuk 844 warga asing masih belum ditemui.

Bencana berlaku pada 26 Ogos apabila glasier di Gunung Langtang Lirung, Nepal, pecah pada ketinggian kira-kira 5,200 meter justeru mencetuskan runtuhan ais dan batuan yang bertukar menjadi aliran puing besar dan melanda lembah di sepanjang sempadan.

PENDUDUK mencari bahan yang masih boleh digunakan di celah timbunan serpihan selepas banjir kilat melanda Trishuli Center, daerah Nuwakot, Nepal pada 1 September 2026. Foto AFP

Aliran air deras serta tanah runtuh berlumpur memusnahkan kawasan Rasuwa, Nuwakot, Dhading, Kavre dan Lembah Kathmandu di Nepal, selain menimbus lintasan sempadan Gyirong, yang menghubungkan kawasan itu dengan Nepal di bahagian Tibet (Wilayah Autonomi Xizang) di pihak China.

Kebanyakan warga asing yang dilaporkan hilang adalah dari India, menurut data yang dikongsi oleh kedua-dua negara iaitu sebanyak 275 warga India dan 100 warga China termasuk dalam senarai yang hilang.

Susulan peningkatan mayat ditemukan, Nepal memohon bantuan berupa unit penyejuk beku, kit ujian DNA, teknologi penderiaan jauh serta dron untuk memetakan kawasan yang terjejas akibat bencana tersebut.

ANGGOTA tentera Nepal menyertai operasi mencari dan menyelamat susulan banjir kilat di daerah Nuwakot, Nepal pada 1 September 2026. Foto AFP

China, Korea Selatan dan India telah menghantar pasukan untuk membantu usaha mencari dan menyelamat.

Bentuk muka bumi tidak rata dan jalan raya serta infrastruktur kritikal yang rosak menjadi cabaran utama bagi komunikasi.

Temu bual media kerajaan China dengan pasukan mencari dan menyelamat mendedahkan bahawa mereka tiba di lintasan sempadan Gyirong selepas berjalan kaki selama 10 jam, namun tidak menemukan sebarang tanda bangunan atau infrastruktur lain di bahagian sempadan sebelah China. – Bernama-Anadolu