Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Angin kencang, tanah gambut berbara antara cabaran bomba kawal kebakaran di Mukah
  • SEMASA

Angin kencang, tanah gambut berbara antara cabaran bomba kawal kebakaran di Mukah

Utusan Sarawak 2 days ago

SIBU:  Anggota bomba terpaksa berdepan cabaran angin kencang, tanah gambut berbara dan kekurangan sumber air dalam usaha mengawal kebakaran belukar di belakang Kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mukah, yang berlarutan sejak Khamis lepas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah Nicholas Belulin berkata bara api telah meresap ke dalam tanah gambut yang menyukarkan usaha pemadaman dan memerlukan kawalan rapi bagi mengelakkan api terus merebak ke kawasan ladang sawit berdekatan.

Beliau berkata antara tindakan drastik yang diambil ialah pembinaan penghadang kebakaran sepanjang 100 hingga 200 meter yang dijalankan semalam menggunakan jentera pengorek milik syarikat ladang berhampiran serta kontraktor yang digerakkan atas arahan Pejabat Residen Bahagian Mukah.

“Kebakaran ini masih belum terkawal sepenuhnya. Kita berharap pembinaan penghadang kebakaran dapat bertindak sebagai benteng untuk mengelak api daripada terus marak,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka oleh pekebun yang membersihkan kebun dengan membakar ranting dan sisa tanaman, kemudian gagal dikawal akibat keadaan cuaca panas dan tanah yang terlalu kering.

“Sekiranya angin tidak bertiup kencang dan strategi pemadaman dijalankan dengan betul, kita jangka keadaan boleh dikawal dalam masa terdekat. Kita juga berharap hujan akan turun bagi membantu memadamkan bara secara semula jadi,” katanya.

Usaha memadam kebakaran yang melibatkan kawasan seluas dua hektar itu menjadi lebih mencabar apabila kekurangan sumber air, memaksa pasukan bomba menggali parit bagi mendapatkan air tambahan tetapi kelodak yang terdapat dalam parit baharu menyebabkan pam air tersumbat.

Sementara itu, pemimpin masyarakat tempatan di Mukah Penghulu Besiri Keri menggesa penduduk agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka sepanjang tempoh cuaca panas dan kering ini.

“Api kecil pun boleh jadi besar bila angin bertiup. Jika berlaku kebakaran, memang sukar untuk dikawal. Oleh itu, elakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka dan orang ramai juga dinasihatkan pakai pelitup muka kerana udara tercemar boleh jejaskan kesihatan,” katanya.

Dalam pada itu, usaha mengawal kebakaran di sebuah kawasan seluas 80.15 hektar di ladang nanas Long An Unga di Jalan Miri-Marudi di utara Sarawak menunjukkan perkembangan positif apabila anggota bomba berjaya mengekang keadaan itu daripada merebak. 

“Operasi pemadaman tertumpu di kawasan sempadan antara hutan, kebun sawit dan nanas. Walaupun keadaan cuaca kering dan sumber air terhad menyukarkan operasi, tiada kebakaran baharu berlaku,” menurut laporan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.

Menurut laporan itu, operasi pemadaman bara api dalam tanah gambut diteruskan sejak pagi tadi setelah ditangguhkan pada 5 petang semalam ekoran kehabisan sumber air daripada kolam berdekatan lokasi kebakaran. — Bernama

Continue Reading

Previous: Masih ada ruang tambah baik skor IHI Sarawak
Next: Lawatan strategik perkukuh hubungan Sarawak–Kalimantan Barat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.