
TOKYO: Agensi cuaca Jepun pada Jumaat mengeluarkan amaran mengenai tiupan angin kencang, ribut salji dan ombak besar yang dijangka melanda wilayah barat, timur dan timur laut Jepun, dengan kemungkinan berlakunya kilat, puting beliung, runtuhan salji serta gangguan lalu lintas, lapor Agensi Berita Kyodo.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun, cuaca buruk dijangka melanda kawasan barat negara itu pada hari yang sama, manakala kawasan timur dan timur laut pula berkemungkinan mengalami keadaan cuaca tidak menentu hingga Sabtu.
Dalam tempoh 24 jam hingga 6.00 pagi Sabtu, sehingga 80 sentimeter (cm) salji dijangka turun di wilayah Hokuriku di tengah Jepun, manakala wilayah Tohoku di timur laut negara itu berpotensi menerima sehingga 70 cm salji.
Agensi berkenaan turut memaklumkan sehingga 60 cm salji dijangka di wilayah Kanto-Koshin, termasuk Tokyo, sekitar 50 cm di Hokkaido, pulau paling utara Jepun, serta sehingga 40 cm di wilayah Kinki.
Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah keselamatan susulan kemungkinan gangguan perjalanan serta keadaan cuaca ekstrem yang dijangka berterusan sepanjang hujung minggu.- Bernama-Kyodo