LAWAS: Angin kencang dan ombak semakin tinggi menjejaskan operasi mencari mangsa kapal kargo karam di laut Awat-Awat hari ini.
Pasukan mencari terdiri dari Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia Labuan bersama PDRM Lawas, Pengawal Pantai Sarawak Lawas, Jabatan Bomba dan Penyelamat Lawas dan APM Lawas kini terpaksa berdepan faktor cuaca yang boleh membahayakan pasukan mencari.
Ketua Balai Polis Daerah, SM Sahjinan Mokhtar yang balik dari lokasi kapal karam memberitahu pihak Pengawal Pantai Sarawak telah membuat penandaan lokasi kapal malang itu.
“Semua pasukan penyelam dari APMM dan Bomba Labuan telah keluar daripada penyelaman kerana keadaan kapal tidak stabil dan membahayakan pasukan berkenaan.
“Pasukan mencari kini menunggu gelora laut tenang dan selamat untuk penyelaman seterusnya, “katanya ketika ditemui Utusan Sarawak sebentar tadi.
Kapal kargo itu dilaporkan karam kira-kira 1.8 batu nautika dari Tanjung Perapat, Lawas, lewat malam kelmarin.
Dalam kejadian itu, enam kru berjaya menyelamatkan diri menggunakan ‘lifecraft’ atau rakit penyelamat ke Kampung Awat-Awat dan dibawa ke APMM Labuan.
Bagaimanapun, juragan dikenali sebagai Zauyik Anang Fatmanto, 42, iaitu juragan kapal SALIM 6, masih hilang.
Sahjinan berkata hujan renyai beserta angin kencang mencetuskan keadaan laut di lokasi kapal karam bergelora disertai dengan paras air pasang yang mula naik sehingga 10 meter.
Turut berada di pusat operasi mencari ialah Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 7 Limbang Ramlan Marajan selaku komander operasi; Ketua Balai Bomba Penyelamat Lawas dan ketua operasi, Clarence D. Primus Tiandun dan pegawai kanan Bomba Azman Ibrahim.
Operasi berhenti rehat sementara sehingga keadaan cuaca mengizinkan demi keselamatan pasukan mencari yang terlibat.
Oleh ADENG EDRUS