![](https://utusansarawak.com.my/wp-content/uploads/2025/01/IMG_9178.jpeg)
PANTAU.. pegawai BBP Lawas melakukan pemantauan di darat.
LAWAS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kapal kargo karam di laut Awat-Awat Sundar di sini terpaksa ditangguhkan berikutan cuaca yang tidak mengizinkan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Pegawai Bomba Kanan Mursen Timol berkata angin kencang beserta hujan dan ombak besar memaksa operasi ditangguh petang ini.
“Ini kerana jika operasi SAR diteruskan boleh membahayakan pasukan terlibat dengan operasi SAR ini
“Operasi akan disambung semula esok,” katanya ketika ditemui di pusat operasi di jeti Awat-Awat di sini sebentar tadi.
Terdahulu sebuah kapal kargo yang membawa batu dari Sipitang, Sabah ke Brunei telah karam pada kedudukan 2.2 batu nautika di Laut Awat-Awat Sundar, Lawas.
Pencarian telah dijalankan di pesisiran pantai sejauh dua batu nautika.
Insiden melibatkan sebuah kapal kargo yang membawa tujuh kru, tetapi enam orang ditemui selamat manakala seorang masih belum dijumpai dan dikhuatiri lemas.
Mangsa hilang dikenali sebagai Zuayik Anang Fatmanto berusia 42 tahun yang juga juragan kapal berkenaan.
Operasi SAR turut dilakukan oleh pasukan dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Wilayah Persekutuan Labuan yang telah menerima laporan awal mengenai insiden berkenaan pada jam 10.15 malam tadi.
Berikutan laporan itu, Pusat Kawalan Operasi Maritim (MRSC) di Kuching mengerakkan operasi SAR pada jam 10.45 malam tadi.
Dua kapal iaitu Bistari dan Petir 90 digerakkan dari Labuan pada jam 3.00 pagi tadi.
Dua kapal berkenaan berjaya tiba di lokasi dan mendapati enam anak kapal kargo berusia antara 30 hingga 45 tahun telah diselamatkan nelayan tempatan ketika berpaut pada serpihan kayu dari kapal yang karam.
Dua daripada anak kapal ditemui mengalami kecederaan ringan manakala empat lagi dalam keadaan stabil.
MRSC dari Sarawak dan Sabah telah menghantar pasukan penyelam untuk mencari juragan bot yang dipercayai masih terperangkap dalam bot yang karam itu.
Sementara itu, Ketua BBP Lawas Clarence D. Primus Tainbun yang turut tiba pusat operasi SAR Awat-awat pada jam 4.40 petang tadi memberitahu operasi SAR ditangguh dan akan disambung pada hari esok.
Menurutnya semua aktiviti SAR dari agensi negeri Sarawak, Sabah dan Labuan yang terlibat dalam SAR kapal kargo sepanjang 194 kaki atau 59.3 meter dengan dua dek akan disambung esok termasuk kerja penyelaman oleh pasukan MRSC kedua-dua negeri.
Oleh ADENG EDRUS