Anggota tentera cedera terkena tembakan di lapang sasar

Facebook
WhatsApp
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Mohd Nasharudin Mohd Shariff

SEREMBAN: Seorang anggota tentera lelaki cedera pada bahagian muka dipercayai terkena tembakan dilepaskan rakannya ketika berada di lapang sasar di Sungai Menyala, Port Dickson, semalam.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Mohd Nasharudin Mohd Shariff berkata kejadian berlaku kira-kira 2.15 petang ketika mangsa yang berusia lingkungan 20-an bersama beberapa anggota lain berada di lokasi berkenaan untuk latihan menembak.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Port Dickson sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini bagi rawatan lanjut. Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia lingkungan 20 tahun yang juga anggota tentera ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan. – Bernama