
WASHINGTON: Seorang anggota polis didakwa atas satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa secara tidak wajar dan satu pertuduhan mencuri selepas didapati mencuri seluar dalam milik seorang wanita.
Pegawai polis dari United Kingdom, Marcin Zielinski, telah dijatuhkan hukuman penjara selepas rakaman CCTV menunjukkan beliau mencuri seluar dalam wanita semasa menjalankan penggeledahan di rumah mangsa.
Kejadian berlaku pada September 2024 ketika Zielinski, yang bertugas dengan Polis Hertfordshire, menjalankan penggeledahan di kediaman seorang wanita yang telah ditahan, menurut laporan BBC.
Rakaman dari kamera keselamatan rumah (Ring camera) menunjukkan Zielinski mengambil seluar dalam berwarna merah jambu dari laci dan memasukkannya ke dalam poket belakangnya, jauh dari jangkauan kamera badan polis.
Walaupun kejadian berlaku tahun lalu, wanita terbabit baru-baru ini memuat naik video tersebut ke TikTok, selepas Zielinski dijatuhi hukuman penjara selama empat bulan oleh Mahkamah Mahkota Cambridge.
“Pada 12 September 2024, suami saya membuka pintu kepada beberapa anggota polis – lebih ramai daripada yang sepatutnya untuk saya yang kecil ini. Saya telah ditahan, digari, digeledah, dan dibawa ke Balai Polis Hatfield atas satu tuduhan palsu. Akhirnya, tiada tindakan lanjut diambil,” katanya.
Dalam kenyataan lanjut, wanita itu menjelaskan kejadian semasa rumahnya digeledah:
“Semasa saya berada dalam lokap, rumah saya telah digeledah. Konstabel Marcin Zielinski membuka laci seluar dalam saya, memilih sepasang yang diingininya dan menyumbatkannya ke dalam poket belakang, jauh daripada jangkauan kamera badan.”
Video berkenaan kini tular di pelbagai platform media sosial dan menunjukkan dengan jelas tindakan Zielinski menyelongkar laci sebelum mengambil dan menyimpan seluar dalam berkenaan.
Penolong Ketua Polis Konstabel Hertfordshire, Genna Telfer, berkata:
“Zielinski telah mengecewakan masyarakat Hertfordshire, pasukan polis secara keseluruhan, serta rakan sekerjanya yang menjalankan tugas dengan profesionalisme dan integriti.
“Kelakuan jenayahnya merosakkan reputasi pasukan dan merupakan satu pengkhianatan terhadap kepercayaan awam serta nilai yang dipegang oleh perkhidmatan polis,” tambah beliau.- Agensi