BINTANGOR: Seramai 21 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor menjalani pemeriksaan saringan kesihatan menerusi Program Intervensi Kita Sihat 2026 bagi memperkukuh amalan gaya hidup sihat serta memastikan tahap kesihatan mereka sentiasa berada pada tahap optimum.
Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, program yang berlangsung 9.00 pagi semalam itu dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Sarikei.
Katanya, program berkenaan merupakan inisiatif untuk menggalakkan amalan gaya hidup sihat, meningkatkan kualiti hidup serta memastikan anggota bomba sentiasa berada dalam keadaan kesihatan yang baik.
“Program ini memberi pendedahan kepada anggota mengenai kepentingan menjaga kesihatan melalui amalan pemakanan sihat dan gaya hidup yang berkualiti.
“Peserta turut menjalani pemeriksaan saringan kesihatan yang dikendalikan pegawai PKB Sarikei, selain mengikuti taklimat berkaitan pemakanan sihat dan amalan gaya hidup sihat yang disampaikan oleh Nurul Sahida,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pemeriksaan kesihatan berkenaan diketuai oleh Dr Tham Kah Mung dengan bantuan Dr Randle Lemada Abut bagi memastikan setiap anggota memperoleh penilaian kesihatan secara menyeluruh.
Menurutnya, program itu memberi peluang kepada anggota bomba mengetahui tahap kesihatan masing-masing, di samping meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan diri.
“Kesihatan anggota bomba amat penting kerana mereka sentiasa berdepan dengan tugas mencabar yang memerlukan tahap kecergasan fizikal dan mental yang tinggi.
“Justeru, aspek pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat perlu diberi perhatian bagi memastikan anggota sentiasa bersedia menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat,” katanya.
Mahmudin berkata, program seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai usaha memperkukuh kesejahteraan warga BBP Bintangor serta memastikan tahap kesiapsiagaan anggota sentiasa berada pada tahap terbaik.
Oleh Earl Anek




