
SIMANGGANG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sri Aman berjaya menangkap seekor biawak sepanjang dua kaki yang ditemui di sebuah gerai jualan di Kampung Hilir, di sini, tengah hari tadi.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman, Leftenan Kamal Bujang berkata kejadian dilaporkan sekitar 1.16 petang apabila seorang peniaga wanita dikenali sebagai Yona, terkejut melihat kelibat biawak tersebut ketika sedang mengemas gerainya.
“Pengadu segera menghubungi pihak APM untuk mendapatkan bantuan.
“Empat anggota dikerahkan ke lokasi dengan menggunakan kenderaan operasi pacuan empat roda jenis Toyota Hilux,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pasukan APM yang diketuai Sarjan Jacky bersama Koperal Dayang Norfarizan, Lans Koperal Chrismike Rudy dan PBT Mohd Azri tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.
“Hasil pemeriksaan mendapati seekor biawak bersembunyi di kawasan bilik stor gerai berkenaan.
“Haiwan itu berjaya ditangkap dengan selamat tanpa sebarang kecederaan kepada anggota mahupun orang awam,” jelas beliau sambil menambah operasi tamat pada 1.35 petang.
Kamal turut menasihatkan orang ramai supaya tidak cuba menangkap sendiri haiwan liar sebaliknya segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya menemui haiwan berbahaya di kawasan kediaman atau premis perniagaan.