


SARATOK: Operasi Mengurangkan Populasi Buaya di Sungai Batang Krian yang dikenali ‘Op Remove’ mendapati anggaran jumlah buaya di lokasi pemantauan adalah sekitar 178 ekor, hasil pemantauan dan pengiraan awal yang dijalankan oleh pasukan operasi pelbagai agensi.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, operasi yang melibatkan seramai 18 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) Sibu serta RELA dilaksanakan bagi mengawal dan menangani peningkatan populasi buaya yang boleh mengancam keselamatan penduduk setempat.
Menurut beliau, operasi bersepadu ini turut disokong dengan kekuatan logistik melibatkan tiga bot yang disediakan oleh PDRM, Bomba dan APM bagi memastikan pemantauan dapat dilakukan secara menyeluruh di sepanjang Sungai Batang Krian.
“Operasi ini merupakan usaha sama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok dengan SFC serta jabatan-jabatan kerajaan lain dan telah diaktifkan bermula 14 Disember hingga 23 Disember ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, tumpuan penugasan lebih tertumpu di kawasan Kampung Kupang dan sepanjang Ulu Sungai Batang Krian, yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi kehadiran buaya.

DSP Mathew Manggie berkata, hari pertama operasi ditangguhkan ke hari berikutnya atas faktor keselamatan dan keadaan semasa, namun pemantauan serta pengiraan jumlah buaya tetap dijalankan, sekali gus membawa kepada anggaran kehadiran sekitar 178 ekor buaya di kawasan pemantauan.
Pada hari kedua operasi, sebanyak sembilan umpan telah dipasang di beberapa lokasi strategik sepanjang Sungai Krian bagi tujuan pemantauan dan tangkapan terkawal.
Sementara itu, pada hari ketiga operasi, sekitar 4.00 petang semalam, pasukan operasi menerima maklumat daripada penduduk rumah panjang bahawa salah satu umpan telah dibawa lari seekor buaya sebelum pasukan mengesan dan berjaya menangkap reptilia tersebut.
“Seekor buaya katak jenis Crocodylus porosus jantan sepanjang 15 kaki dengan anggaran berat 300 hingga 400 kilogram berjaya ditangkap dan dibawa ke darat sebelum disimpan di Pusat Operasi,” katanya.
Beliau menambah, buaya tersebut kemudiannya diserahkan kepada pemburu buaya berlesen untuk tindakan selanjutnya dan telah direkodkan mengikut prosedur ditetapkan.
DSP Mathew Manggie turut menegaskan bahawa aspek keselamatan anggota sentiasa diutamakan, dengan pemakaian kelengkapan keselamatan dan jaket keselamatan sepanjang operasi dijalankan demi memastikan operasi berlangsung dengan selamat dan terkawal.
Oleh Adi Safarman