
KAHERAH: Pelakon dan aktivis kemanusiaan Amerika Syarikat (AS) Angelina Jolie, melawat kawasan sempadan Rafah di sebelah Mesir menuju ke Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Jerman dpa.
Menurut sumber Bulan Sabit Merah Mesir pada Jumaat, Jolie mengadakan lawatan ke organisasi itu bagi mendapatkan gambaran mengenai usaha bantuan kemanusiaan yang sedang dijalankan untuk wilayah pantai yang kini dikepung.
Beliau disambut oleh gabenor wilayah yang mengiringinya sepanjang lawatan tersebut. Media Arab melaporkan bahawa seorang wakil Jabatan Negara AS turut hadir.

Jolie kemudiannya dilaporkan membantu membungkus bekalan bantuan untuk Gaza sebagai simbolik sokongan, selain menyatakan penghargaan terhadap usaha Mesir. Beliau turut memuji peranan penting para sukarelawan dan kakitangan dalam memastikan pengagihan bantuan berjalan lancar walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Pada sebelah petang, beliau dijangka mengunjungi sebuah hospital di bandar al Arish yang berhampiran. Menurut sumber Mesir, Jolie merancang untuk bertemu rakyat Palestin yang cedera akibat konflik di Semenanjung Gaza di hospital berkenaan.
Jolie pernah berkhidmat sebagai utusan khas kepada Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu UNHCR selama bertahun-tahun. Pada masa kini, beliau terus melawat kawasan konflik dan krisis di seluruh dunia bagi menarik perhatian terhadap penderitaan orang awam.
Rafah merupakan satu-satunya lintasan sempadan di Semenanjung Gaza yang tidak menghubungkan wilayah itu secara langsung dengan Israel. Lintasan berkenaan ditutup semasa perang di Gaza, dan pertubuhan bantuan kemanusiaan sejak sekian lama menggesa supaya ia dibuka. – Bernama