
KUALA LUMPUR: Atlet lompat kijang dan lompat jauh negara, Andre Anura Anuar tidak akan menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) yang membuka tirainya Jumaat ini.
Sebaliknya, atlet kelahiran Sabah itu akan beraksi pada Kejohanan Olahraga Terbuka Korea Selatan di Yecheon, Korea Selatan, Sabtu ini sebagai persiapan terakhir dalam usaha memburu kelayakan ke Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September depan.
Jurulatihnya, Ahmad Firdaus Salim, berkata keputusan menghantar Andre ke Korea Selatan dibuat kerana tahap persaingan di kejohanan itu lebih kompetitif berbanding Terbuka Malaysia, selain menawarkan peluang terbaik untuk mencapai sasaran kelayakan.
“Ini memang sebahagian daripada perancangan untuk melayakkan diri ke Sukan Asia. Bukan saya kata bertanding di Malaysia tidak bagus, tetapi persaingan dalam acara Andre tidak cukup kuat.
“Ada beberapa acara di Malaysia yang menawarkan persaingan baik, namun bagi acara lompatan, setakat ini saya belum nampak saingan yang benar-benar mampu mencabar Andre. Di Korea, kami boleh bertemu atlet yang mempunyai prestasi setanding atau mungkin lebih baik daripadanya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Mengulas peluang Andre untuk melayakkan diri ke Sukan Asia dalam kedua-dua acara, Ahmad Firdaus optimis anak buahnya berada di landasan terbaik berdasarkan prestasi dan perkembangan positif yang ditunjukkan sepanjang sesi latihan minggu lalu.
“Setakat ini, persediaannya berjalan lancar dan prestasinya dalam latihan amat memberangsangkan. Kami berharap dia dapat memanfaatkan peluang di Korea untuk mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.
Untuk rekod, Andre merupakan juara bertahan acara lompat jauh dan lompat kijang pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia.
Atlet berusia 27 tahun itu meraih pingat emas acara lompat kijang pada Sukan SEA Thailand 2025 dengan catatan 7.71 meter (m), selain kekal sebagai pemegang rekod kebangsaan lompat jauh menerusi lompatan sejauh 8.02m yang dilakukan pada Sukan SEA Filipina 2019. – Bernama