
KUCHING: Penyanyi bersuara emas dari Indonesia, Andmesh Kamaleng, bakal menghiburkan para peminatnya di sini menerusi konsert ‘A Night With Andmesh Kamaleng’ yang berlangsung malam esok di Stadium Perpaduan Sarawak pada 8.00 malam.
Andmesh, yang popular dengan lagu Cinta Luar Biasa, meluahkan rasa syukur dan kegembiraannya apabila diberi peluang untuk menjayakan konsert tersebut, yang disifatkannya sebagai satu impian menjadi kenyataan.
Menurutnya, kehadirannya ke Sarawak bukan sekadar untuk membuat persembahan, tetapi turut membawa harapan untuk berkongsi pentas bersama rakan-rakan sekampung pada masa akan datang, sekali gus menjadikan konsert itu sebagai platform untuk merealisasikan impian bersama.
“Ini adalah konsert yang bukan sekadar konsert, tetapi satu pentas untuk kita mempunyai impian yang unik, dan penuh kegembiraan,” katanya pada sidang media di Star On Stage di sini hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada komuniti tempatan dan para penaja yang menjayakan penganjuran konsert tersebut.
“Semua orang sangat ramah dan benar-benar bersedia membantu merealisasikan apa sahaja yang kami impikan. Seluruh pasukan juga sangat bersemangat dan teruja untuk membuat persembahan di sini,” ujarnya.
Jelasnya lagi, konsert itu menjadi ruang untuk menyampaikan persembahan yang ikhlas dari hati, sekali gus menyentuh jiwa para peminat yang akan hadir.
Andmesh turut mengajak orang ramai memberikan sokongan kepada konsert tersebut yang disifatkannya sebagai konsert bukan sahaja untuk dirinya, tetapi untuk seluruh peminat di Sarawak.
“Semoga kita dapat saling memberi inspirasi. Malam esok kita dapat berjumpa dan meluahkan apa yang kita perlukan, kedukaan, kegembiraan dan rasa syukur kita,” katanya.
Pada sidang media dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau sangat berbesar hati dan teruja dengan kehadiran penyanyi kelahiran Alor, Indonesia ke Sarawak dan buat julungnya memilih bandar raya Kuching untuk beraksi pada konsert berskala besar dengan persembahan berdurasi satu jam 30 minit menerusi lagu popular yang dipersembahkan di hadapan penonton.
Konsert ‘A Night With Andmesh Kamaleng’ dianjurkan oleh Wazai Creatif Solution (WCS) dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP).
Konsert tersebut dijangka menarik perhatian peminat dari Semenanjung, Sabah, Brunei dan Indonesia yang mana tiket telah mencapai penjualan 3,000 sekali gus melepasi sasaran.
Turut berkongsi pentas bersama Andmensh, ialah Hasty, Zah Amirul, Hairie Francis, Ramles Walterm Grethen Quirina, Ryenald Guntabid, Mario G Klau dan Gary Gany.
Oleh Yanti Sham