
MADRID: Sebuah mahkamah di Sepanyol hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas bekas pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti, selepas didapati bersalah atas kesalahan penipuan cukai pada tahun 2014.
Pendakwa raya mendakwa Ancelotti, yang kini mengendalikan skuad kebangsaan Brazil, menggunakan rangkaian syarikat luar pesisir untuk menyembunyikan pendapatan tambahan melalui hak imej semasa musim pertamanya bersama Real Madrid pada 2014 dan 2015.
Jurulatih berusia 66 tahun itu, yang dianggap antara pengurus paling berjaya dalam sejarah bola sepak dunia, dikatakan gagal mengisytiharkan pendapatan lebih satu juta euro (RM4.97 juta), dan pihak pendakwaan sebelum ini menuntut hukuman penjara empat tahun sembilan bulan terhadapnya.
Dalam perbicaraan yang berlangsung April lalu, Ancelotti menafikan sengaja melakukan penipuan, mendakwa beliau tidak mengetahui bahawa menerima sebahagian gaji melalui hak imej boleh mengakibatkan pengurangan cukai yang tidak sah.
Mahkamah Madrid dalam keputusannya menyatakan Ancelotti disabitkan kesalahan ‘terhadap perbendaharaan negara’ dan dikenakan hukuman penjara satu tahun serta denda sebanyak 386,361 euro (sekitar RM1.92 juta).
Namun, memandangkan hukuman itu di bawah dua tahun dan Ancelotti tidak mempunyai rekod jenayah, beliau tidak akan dipenjarakan seperti mana diperuntukkan oleh undang-undang Sepanyol.
Mahkamah turut membebaskan Ancelotti daripada pertuduhan bagi tahun taksiran 2015, selepas gagal dibuktikan bahawa beliau masih menetap di Sepanyol ketika itu.
Beliau berpindah ke London selepas kontraknya bersama Real Madrid ditamatkan pada Mei 2015. – AFP