
NEW DELHI: Polis di ibu kota kewangan India, Mumbai diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas menerima mesej WhatsApp yang mengugut akan berlaku puluhan letupan di seluruh bandar raya itu, menurut polis pada Jumaat, lapor Xinhua.
Mesej yang diterima pada Khamis itu mendakwa pengebom bunuh diri telah ditempatkan di dalam 34 kenderaan, dan ia akan menggegarkan seluruh bandar raya.
Pengirim mesej itu turut mendakwa seramai 14 pengganas telah memasuki Mumbai dan meletakkan 400 kilogram RDX di dalam kenderaan untuk diletupkan.
Pegawai kanan polis, Anil Dashrathrao Kumbhare memberitahu media bahawa ugutan itu sedang disiasat.
Bandar raya itu kini sedang menyambut Anant Chaturdashi, perayaan Hindu selama 10 hari yang akan berakhir pada Sabtu dengan polis telah pun membuat persiapan keselamatan untuk jutaan penganut Hindu. – Bernama