
KUCHING: Polis masih menyiasat motif sebenar di sebalik ancaman keselamatan terhadap fasiliti gas asli cecair (LNG) di Bintulu menerusi aplikasi WhatsApp.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, yang mengesahkan menerima satu laporan mengenai ancaman itu berkata pihaknya memandang serius perkara itu.
“Mesej ugutan itu dihantar melalui nombor telefon yang didaftarkan di Indonesia.
“Polis masih menyiasat motif sebenar ancaman itu dengan siasatan sedang dijalankan
“Polis memandang serius perkara ini kerana fasiliti LNG Bintulu adalah salah satu sasaran penting keutamaan negara.
“Usaha sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti identiti individu yang bertanggungjawab membuat ugutan itu,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Mancha berkata sebagai langkah berjaga-jaga, tahap kawalan keselamatan di kawasan LNG Bintulu dipertingkatkan ke tahap tertinggi bagi memastikan keselamatan orang awam dan infrastruktur strategik negara tidak terjejas.
Beliau menegaskan, keadaan semasa terkawal dan orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Menurutnya lagi, sebarang maklumat atau pertanyaan lanjut berkaitan insiden itu boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu di talian 086-318304.
Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan memaklumkan kawalan terhadap semua fasiliti LNG di Bintulu diperketatkan serta-merta susulan ancaman keselamatan terhadap fasiliti berkenaan.
MKN memaklumkan langkah itu bagi membolehkan pihak keselamatan dan agensi berkaitan melaksanakan siasatan segera terhadap ancaman itu.
MKN juga memaklumkan agensi keselamatan negara kekal bersedia berdepan sebarang kemungkinan dan telah mengambil langkah kawalan terhadap ancaman keselamatan berkenaan.