KUCHING: Keadaan kesihatan di Sarawak kini kian kritikal ekoran kesemua 92 katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam kesemua empat hospital utama dipenuhi oleh pesakit Covid-19.
Pengarahnya Dr. Chin Zin Hing menyatakan bahawa ancaman virus maut itu di seluruh negara termasuk Sarawak semakin hari semakin teruk.
“Kita berada dalam krisis dan saya memohon kepada anda semua untuk memainkan peranan anda. Tolong tinggal di rumah!
“Katil ICU di seluruh negeri Sarawak sudah penuh. Para doktor bekerja dengan keras setiap hari untuk menjadikan ventilator atau tempat tidur ICU supaya pesakit seterusnya yang memerlukannya dapat memanfaatkannya.
“Sebanyak mana sekalipun ventilator yang ada tidak mungkin akan mencukupi,” katanya dalam siaran media yang dikeluarkan petang semalam.
Sambil menggesa semua rakyat memainkan peranan dengan duduk diam di rumah masing-masing, Dr. Chin menegaskan pemintasan jangkitan Covid-19 mesti disegerakan, memandangkan antara 10 peratus hingga 20 peratus daripada kes positif Covid-19 memerlukan penghospitalan dan antara lima peratus hingga 10 peratus memerlukan penjagaan ICU.
“Bayangkan jika kita ada 1,000 pesakit Covid-19 – 10 peratus daripada 1,000 bersamaan dengan 100 pesakit dan 100 katil ICU diperlukan.
“Di Sarawak, kita hanya ada 53 katil ICU dalam empat hospital utama, yang pada masa sekarang ada 92 katil ICU yang kesemuanya penuh.”
Beliau menjelaskan sebuah katil diperlukan sekurang-kurangnya 10 hari purata bagi setiap pesakit.
Dr. Chin menggariskan langkah-langkah berikut dipatuhi: (1) Berada di rumah sahaja; (2) Diam dalam gelembong keluarga masing-masing; (3) Jika anda ada simptom Covid-19 atau tahu akan seseorang yang terdedah dengan seseorang atau kluster Covid-19, lakukan ujian segera supaya anda tidak menjangkiti keluarga tersayang atau kawan atau rakan sekerja. Ingatlah, masing-masing ada ahli keluarga yang berisiko tinggi di rumah; (4) Bekerja dari rumah jika boleh; dan (5) Amalkan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja – pakai pelitup muka sentiasa dan jangan makan semeja yang memerlukan anda menanggalkan pelitup muka.
Langkah ini perlu dilakukan sehingga program vaksinasi negeri terlaksana sepenuhnya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO