Oleh: Roslan Jomel
MENGAPAKAH seseorang berminat untuk menjadi penulis? Apakah yang istimewanya bidang itu? Intan permata atau kepuasan artistik? Adakah kerana kesepian, terasing daripada masyarakat dan mengabadikan gelora jiwa dalam karya kreatif? Namun, kerja mengarang bukan lagi disebabkan hanya untuk mengisi masa lapang, malahan wujud sebahagian pengarang yang tiba-tiba meraih populariti setelah memenangi hadiah utama dalam peraduan menulis. Sedangkan sebelumnya, mereka bagaikan tidak muncul dalam ruangan kreatif di akhbar dan majalah. Lalu, atas alasan apa seseorang menjerumuskan diri dan kehidupan mereka menjadi insan seni?
“Dalam dunia yang cetek dan pendek perasaannya, sastera melatih perasaan manusia, memperlihatkan sudut-sudut halus dan canggihnya. Sastera mematangkan dan meluaskan julat perasaan, yang menjadi hak dan kekayaan kehidupan kita. Kita juga diajak berfikir secara alamiah, melalui watak yang kita rasa ada persamaan dalam suatu proses identifikasi di antara pelaku dan pembaca. Kita didedahkan kepada keperluan etika dan akhlak – dalam kehidupan kita berjalan terus dan mungkin terlupa sekiranya kita tidak dirisaukan oleh undang-undang.”
(Dipetik dari esei “SasteraDi Ambang Globalisasi”, dalam buku Menyeberang Sejarah, tulisan Sasterawan Negara (SN) Muhammad Haji Salleh, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999.
Hal yang terakam dalam naskhah “Kisah Sang Beluncas”, karya Johari A. Julaihi, membenarkan apa yang diperkatakan oleh SN Muhammad Haji Salleh tentang hubungan simbiotik antara karya kreatif dan kehidupan realiti manusia. Hasil daripada rangsangan idea, pemerhatian dan bantuan imaginasi, maka terciptalah sebuah karya yang sengaja ditulis untuk berkias tentang tingkah laku manusia dalam meneruskan kehidupan mereka. Kadang-kadang, tidak sepenuhnya berasas daripada kejadian nyata, namun kadang-kadang, ia juga sengaja dikaburkan untuk membuktikan bahawa kejadian yang dikisahkan itu memang benar-benar berlaku. Sebagai pengarang kontemporari, tentu Johari A. Julaihi menyedari hakikat itu. Garis realiti dan fiksyen, semakin bersentuhan dalam hubungannya dengan kehidupan.
Dengan mengangkat watak dari spesies beluncas untuk memerikan perjalanan kehidupan awal seseorang pengarang karya kreatif, Johari A. Julaihi mengaplikasikan teknik penulisan berbentuk analogi. Terlebih dahulu, apakah maksud analogi? Menurut Kamus Bahasa Melayu yang disediakan dalam pelantar laman web PRPM Dewan Bahasa dan Pustaka, analogi bermaksud, “kias, perbandingan (yang memperlihatkan ciri-ciri persamaan sebahagiannya); menurut kias (perbandingan), berdasarkan perbandingan (persamaan); beranalogikan menggunakan (mempunyai) sesuatu sebagai analogi: kesimpulan yang fakta-fakta yang belum pasti kesahihannya.”
Nyatanya, unsur analogi dipraktikkan untuk menjelaskan atau membuktikan tentang sesuatu perkara, terutama dalam karya kreatif yang sering digunakan secara berleluasa sebelum ini. Ia bukan baharu dicipta pada hari ini. Teknik analogi juga sering digunakan sama ada untuk tujuan parodi, ejekan dan sindiran tentang isu-isu semasa yang melibatkan pengarang dengan kejadian yang menarik perhatian mereka secara langsung. Sebahagian pengarang besar turut memanipulasi pendekatan sedemikian ketika menyampaikan amanat sosial dan kritikan mereka tentang gejala serius yang melanda dalam masyarakat, agama dan negara. Banyak contoh karya terpuji sebelum ini yang menggunakan bentuk analogi wajar dijadikan rujukan.
Dalam buku Sastera dan Ilmu Sastera, tulisan A. Teeuw, kritikus tersohor itu menulis perbezaan perspektif antara Plato dan Aristotle tentang makna hubungan kesenian dan mimesis (peniruan/penyalinan). Sebagaimana dituliskan oleh A. Teeuw, “penyair (pengarang karya kreatif) tidak meniru kenyataan, tidak mementaskan manusia yang nyata atau peristiwa sebagaimana adanya. Seniman mencipta dunianya sendiri, dengan kemungkinan yang memaksa, dengan ketidakrelaannya; apa yang terjadi dan ciptaan seniman masuk akal dalam keseluruhan dunia ciptaan itu dan sekali gus, kerana dunia merupakan kontraksi, perpaduan yang berdasarkan unsur-unsur dunia nyata, mencerahkan sudut nyata tertentu”. Menurut Aristotle, karya seni menjadi sarana pengetahuan khas, kaedah unik untuk membayangkan pemahaman tentang aspek atau tahap manusia yang tidak dapat diungkapkan dan dikomunikasikan dengan cara lain.
Kembali ke dalam isi naskhah tentang beluncas, dengan nama wataknya Unchas. Sahabatnya pula diberi nama Elun. Siapakah mereka berdua? Rupa-rupanya mereka dikiaskan sebagai pengarang muda (suatu istilah yang menimbulkan polemik dari dahulu hingga kini). Daun yang telah dicatat (halaman karya kreatif – maksudnya) diibaratkan sebagai manuskrip oleh pengarang naskhah. Unchas sedari awal digambarkan sebagai pengarang muda yang mudah berasa berang sebaik sahaja manuskrip-manuskrip yang dikirim ke bahagian editorial, tidak diberikan respons positif oleh penyunting. Sudah berkali-kali karya dikirim, sebuah pun tidak dipertimbangkan untuk penyiaran. Sungguh tidak penyabar pengarang itu.
Sebab itulah yang mendorong Unchas menggerutu dan berfikir yang bukan-bukan tanpa menyemak kelemahan karya sendiri. Adakah para editor pilih kasih? Lebih condong kepada pengarang-pengarang yang sudah memiliki nama dan kedudukan? Daun-daun yang dikirim oleh Unchas, langsung tidak disusun menjadi kelopak bunga. Apa yang dialami oleh Unchas, selaku pengarang muda, turut dialami oleh mana-mana pengarang baharu yang ingin mempersembahkan naskhah mereka agar diberikan perhatian oleh editor. Tidak terbayang betapa terkilannya sebahagian pengarang muda apabila karya yang dikirim, tidak menampakkan diri dalam ruangan kreatif di akhbar dan majalah. Asyik nama-nama pengarang tertentu sahaja yang ditatang bagaikan minyak penuh oleh pihak editor. Selaku sahabat yang meminati bidang yang sama, Elun sentiasa memberi motivasi kepada Unchas agar sentiasa memperbaiki kekurangan diri. Kerja mengarang bukan semata-mata bergantung pada kesungguhan, bakat dan ilham sahaja. Tetapi Unchas tetap berasa bahawa dirinya benar.
Berbeza pula dengan Elun. Karakternya lebih positif dan sentiasa bersabar dan ingin mempelajari hal-hal baharu untuk meningkatkan kemahiran serta pengetahuan dalam bidang penulisan. Bahkan terdapat bengkel-bengkel penulisan yang ditawarkan kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira umur dan latar belakang akademik. Tujuan bengkel-bengkel penulisan ini diadakan, sudah tentu untuk mendalamkan ilmu penulisan dan mempertingkatkan kemahiran dalam menukangi karya. Pengarang yang baru berjinak dalam bidang penulisan kreatif, sangat dialu-alukan untuk menyertai program itu sebagai bekalan asas dalam meneruskan minat mereka. Pada kesempatan itu juga, mereka akan didedahkan kekuatan dan kelemahan sesebuah karya. Dari situ, para pengarang akan diajar agar jangan mudah berasa besar diri dan sentiasalah berusaha untuk memantapkan ilmu dalam bidang penulisan.
Kepada Unchas, Elun mencadangkan agar karya-karya yang gagal disiarkan itu, dikirimkan pula ke ruangan kreatif lain. Setiap akhbar dan majalah telah menetapkan standard tertentu untuk melayakkan sesebuah karya disiarkan. Pemilihan karya untuk disiarkan juga sangat ketat. Tetapi, tentu ada ruangan kreatif khas yang sedia menampung kemasukan karya-karya pengarang muda. Dan hal itu akan mengurangkan daya saing antara penulis mapan dan pucuk muda. Elun yang bersikap lebih dewasa dan rasional, tidak teragak-agak menunjukkan kelemahan-kelemahan kualiti penulisan sahabatnya itu. Kesalahan tatabahasa, ejaan yang silap dan jalan cerita yang tunggang-langgang serta gaya lapuk dalam penceritaan. Kesemua aspek dalaman itu bakal merosakkan sesebuah naskhah. Editor yang mengendalikan ruangan kreatif juga menerima ratusan karya dan perlu diperhatikan dengan saksama.
Walaupun sudah didedahkan beberapa aspek kepincangan dalam kerja penulisan, Unchas masih dengan sikap egonya. Bagi Unchas, karya-karyanya sudah cukup sempurna dan layak untuk disiarkan dalam mana-mana media massa. Itulah perangai yang masih kuat mengakar dalam sebahagian pengarang – sama ada muda dan berpengalaman. Enggan ditegur kelemahan karya-karya mereka. Tetapi tetap mendabik dada bahawa karya penulisan mereka telah disalah tanggap oleh pihak penilai/pengkritik. Lebih malang lagi mentaliti sedemikian sukar untuk diubah. Kononnya karya-karya mereka berpemikiran tinggi, abstrak, dahsyat, dan hanya dimengerti oleh individu-individu yang berakal genius. Unchas menganggap pihak penyunting hanya memberi ruang kepada pengarang-pengarang pilihan mereka sahaja.
Tuduhan tidak berasas itu hanya datang daripada mereka yang sudah berputus asa dan tiada keyakinan diri. Cemburu menyaksikan nama-nama pengarang tertentu sahaja disiarkan, memang suatu sikap yang baik (walaupun menghiris perasaan). Tetapi apabila rasa cemburu itu sekadar mendapan cemburu, tetapi tidak diisikan dengan ikhtiar menambah ilmu dalam penulisan, ia tidak bermanfaat apa-apa pun buat seseorang pengarang itu. Sebaliknya, mana-mana pengarang yang baru terjun ke dalam bidang persuratan, haruslah rajin membaca karya-karya besar yang mantap pertukangannya, sebagai bahan rujukan dan contoh ketika menghasilkan karya sendiri. Ia bukan bermaksud untuk menyalin karya-karya mereka (menciplak), tetapi dijadikan suatu cerminan bagaimana hendak menghasilkan karya yang bermutu, kukuh dan tahan lasak. Sukar untuk seseorang maju dalam penulisan, jika memencilkan diri dalam kurungan buatan sikap mereka sendiri. Zaman dan rentak hidup sudah berubah. Demikian juga teknik penulisan karya kreatif juga sudah semakin pesat dan canggih.
Unchas yang masih bersikap meninggikan diri, yakin bahawa dia memiliki identiti tersendiri dalam kerja penulisan. Bagi Unchas, rama-rama (editor) yang bertugas sebagai pengendali ruangan kreatif, tidak pandai menilai. Buta seni dan bersikap kronisme. Dan Unchas yakin bahawa karyanya berciri istimewa, tersendiri dan tidak terikut-ikut dengan kerja pengarang lain. Sikap demikian sudah baik dan terpuji. Seseorang pengarang yang istimewa, memang tidak perlu mengikuti gaya pengarang lain untuk menaikkan nama dan karyanya. Namun, sejauh mana pegangan Unchas itu benar dalam realiti penulisan semasa? Unchas yang memiliki ijazah dalam penulisan kreatif berasa bahawa kedudukannya lebih teratas berbanding pengarang-pengarang lain. Unchas melihat kerja penulisan penulis-penulis lain lebih rendah mutunya. Ijazah dan pencapaian akademik walaupun memang diperlukan, tetapi ia tidak menjamin kualiti penulisan kreatif yang berteraskan kemahiran organik dan nilai kesenian.
Tetapi, sepanjang pengalaman saya sebagai pengarang, seseorang itu tidak dapat melarikan diri daripada terpengaruh secara tidak langsung dengan kerja penulis besar yang lain. Sama ada pengarang tempatan atau luar negara. Ia suatu hakikat yang sulit untuk dihindari. Dalam dunia kesusasteraan semasa, tidak timbul lagi, adakah sesebuah karya itu asli atau dipengaruhi oleh pengarang-pengarang tertentu. Apa yang menjadi ukuran ialah bagaimana seseorang pengarang itu mengucapkan tema, pemikiran, cerita melalui air tangannya sendiri. Membaca karya-karya hebat daripada pengarang luar biasa, mengajar calon penulis untuk memahami dan memeriksa karya masing-masing dengan membandingkan kemampuan dan kelemahan sendiri. Di samping itu, calon pengarang juga turut diperkenalkan dengan beberapa corak dan arus penulisan terkini yang sedang menguasai ranah kesusasteraan dunia.
Setelah berusaha untuk memajukan diri dalam kerja penulisan, Elun akhirnya berjaya menempatkan dirinya sebaris dengan pengarang terkenal yang lain. Karya penulisan Elun mendapat perhatian dan kian dikenali oleh golongan penulis. Kerja keras Elun, mengikuti bengkel penulisan dan menyemak karya-karya besar yang dijadikan rujukan kalangan penulis, membuahkan hasil yang selayaknya. Tetapi, bagaimanakah pula dengan Unchas yang berlagak hebat itu? Unchas turut menempa kejayaan yang cemerlang dan karyanya juga menerima pujian. Sebagaimana keberhasilan yang dituai oleh Elun, keadaan yang serupa turut diperoleh oleh Unchas. Tetapi tunggu dulu. Adakah kejayaan yang diraih oleh Unchas itu sesungguhnya murni? Hasil daripada usaha yang tulus dan seratus-peratus asli?
Apa yang dicapai oleh Unchas ialah hasil daripada memplagiat karya-karya pengarang lain. Unchas yang tertekan dan kecewa dengan layanan pihak editorial, mengambil jalan mudah yang menjahanamkan nama dan keperibadiannya sendiri. Adakah apa yang dilakukan oleh Unchas tidak berlaku dalam dunia nyata? Sedihnya, hal yang dikerjakan secara tersembunyi, seperti apa yang sudah dilakukan oleh Unchas, benar-benar terjadi dalam bidang penulisan tanah air. Perkara itu tidak dapat dilindungi lagi. Masyarakat sastera tentu maklum dengan insiden plagiat yang dilakukan oleh segelintir pengarang yang tidak mempunyai harga diri itu. Kejayaan yang diperoleh dengan menipu tentu lambat-laun akan diketahui oleh publik. Unchas kekal dalam pupa, tergantung dan terasing daripada ranah kesusasteraan.
Elun telah berada pada posisi yang dicita-citakannya. Kerja penulisannya sudah dikenal pasti oleh sidang editor. Perkara buruk yang menimpa sahabatnya, Unchas, seharusnya dijadikan teladan. Kini, nama dan karya yang dihasilkan Unchas sudah ditolak tepi oleh komuniti sastera. Akhirnya Unchas mereput dalam lembah nestapa ciptaannya sendiri yang mengambil jalan pintas untuk berjaya. Elun yang sudah pun berdiri sama tinggi dengan para pengarang ternama lain, harus terus belajar dan menajamkan pemikiran dengan sentiasa menambah ilmu dan wawasan. Sebagaimana yang diperingatkan oleh Budi Darma dalam buku kumpulan esei sasteranya, Harmonium, karyawan seni yang tidak menggoncangkan apa-apa, hanyalah tukang kerajinan tangan. Maksud Budi Darma ialah, sesebuah karya harus memiliki gagasan serius, persoalan yang mendalam, renungan intelektual dan disampaikan dengan nilai estetika yang ampuh.
Kaedah analogi yang digunakan oleh Johari A. Julaihi sejajar dengan mesej yang ingin disampaikannya. Ia jelas bak kristal dan mudah dimengerti oleh mana-mana pengarang yang terlibat dalam urusan penulisan dengan komited. Tiada yang luar biasa dalam naskhah itu. Tetapi apa yang mustahak ialah ketelusan amanat yang hendak dikongsi bersama-sama dengan pihak pembaca. Apa yang wajar dilakukan oleh pengarang naskhah “Kisah Sang Beluncas” itu nanti ialah, terus menghasilkan karya-karya yang lebih bagus, menggugah pemikiran dan melonjakkan kebolehannya setara dengan nama-nama besar yang lain dalam bidang kesusasteraan. Tiada jalan lain. Ia harus bermula dari dalam diri dan diiringi dengan niat yang betul.