KEPUTUSAN pilihan enam negeri menunjukkan prestasi Perikatan Nasional (PN) meningkat dan ini disebabkan oleh lonjakan momentum sentimen undi Melayu sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lagi.
Mereka menggunakan istilah gelombang hijau yang dikaitkan dengan teras PN iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang menjadi tonggak utama dalam PN.
Di Terengganu, PN menyapu bersih dengan menguasai semua 32 kerusi.
Di Kelantan, Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) hanya menang dua kerusi manakala PN menang 43 kerusi.
Di Kedah, PN menang 33 kerusi, manakala PH mendapat tiga kerusi sahaja.
Di Selangor kawasan kubu kuat PH, PN mulai menembusi 21 kerusi manakala PH-BN menguasai 35 kerusi, menyebabkan Selangor tidak mendapat majoriti dua pertiga sebagaimana sebelum ini.
Peratusan keluar mengundi
Didapati punca utama ini disebabkan oleh peratusan keluar undi yang rendah antara punca kepada kekalahan khususnya kepada PH dan BN.
Di Selangor, jumlah turun mengundi hanya sekadar 71.67 peratus sahaja berbanding 78.68 peratus pada PRU ke-15 tahun lepas.
Kesan penurunan ini, banyak kelebihan kepada PN kerana banyak tempat dimenangi secara tipis.
Misalnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan perbezaan hanya 30 undi sahaja.
Di DUN Gombak Setia kemenangan tipis 58 undi.
Di DUN Dengkil dan DUN Sungai Kandis PN menang tipis 407 dan 167 undi.
Sekiranya, peratusan keluar undi kekal, tidak akan berlaku kekalahan tipis seumpama ini.
Ramai berpendapat mereka tidak turun mengundi kerana yakin perubahan sokongan di peringkat DUN tidak mempengaruhi kerajaan di Putrajaya.
Hakikatnya, Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap mempunyai dua pertiga sokongan di Dewan Rakyat.
Desakan agar Anwar meletak jawatan ekoran prestasi PRN ini tidak relevan kerana pilihan raya negeri (PRN) bukan untuk memilih Perdana Menteri dan tidak ada kaitan dengan kedudukan Kerajaan Pusat.
Malah, jika ada pihak yang mahu Anwar meletak jawatan, PN perlu mengemukakan undi tidak percaya.
Namun hakikatnya, sehingga kini PN tidak mempunyai sokongan untuk membentuk kerajaan.
Maka, ternyata ia hanya menjadi propaganda kepada PN ketika menjelang PRN kononnya Kerajaan Perpaduan akan tumbang pada Ogos tahun ini.
Tujuannya adalah untuk menarik undi bagi PRN semata-mata.
Pengundi BN masih ragu-ragu
Pengundi BN dilihat masih ragu-ragu untuk bekerjasama dengan PH khususnya dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Selama ini pengundi BN dimomokkan bahawa kerjasama dengan DAP dikaitkan dengan chauvinis Cina dan ini telah didoktrinasikan sejak era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun, kemudian diteruskan oleh era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah dan Datuk Seri Najib Razak.
Di setiap perhimpunan agung Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), DAP menjadi bahan momokan dan kejian politik.
Apabila pembentukan Kerajaan Perpaduan berlaku, yang turut membawa kepada kerjasama DAP dan UMNO ini mendapat bantahan ahli UMNO.
Sikap ‘Warlord UMNO’
Selain tidak diberikan pemahaman dan pencerahan yang mencukupi, ahli UMNO dihasut oleh mereka yang telah keluar dan dipecat UMNO untuk menentang kepemimpinan tertinggi UMNO.
Sentimen kebencian ini semakin kuat apabila terdapat bekas ‘warlord’ UMNO yang berasa sudah tidak ada kepentingan ekonomi dalam parti UMNO atau telah digantikan oleh orang lain bagi memegang jawatan dan kedudukan, mereka memprotes secara dalaman termasuk tidak turun berkempen secara bersungguh-sungguh, ada turut menanam sentimen ketidakselesaan bekerjasama dengan DAP, terdapat juga apabila tidak terpilih atau bekas calon, tidak membantu kempen pilihan raya.
Idris Jusoh misalnya selepas baharu sebulan dua tidak menjawat sebagai Pengerusi Felda, dilihat tidak lagi berkempen secara aktif, sedangkan jasa parti UMNO sangat besar yang membolehkannya pernah dilantik menjadi Menteri Besar, malah dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi pada suatu ketika dahulu.
Beliau turun meminta kepemimpinan tertinggi meletak jawatan, sedangkan sebagai ahli politik lama beliau perlu sedar bahawa kemenangan dan kekalahan yang dicapai adalah tanggungjawab bersama dari peringkat akar umbi, Pusat Daerah Pengundi (PDM), Ketua Cawangan, sayap Pemuda, Puteri, Wanita, Ketua Bahagian hinggalah ke peringkat Majlis Tertinggi parti dan Top 5 dalam hieraki parti.
Kelompok seperti tersebut masih ramai dalam UMNO yang menyebabkan UMNO di peringkat akar umbi kurang dukungan oleh bekas pemimpin parti yang dahulu senang lenang dengan kedudukan, pangkat dan pengaruh hasil daripada penyertaan dalam UMNO.
Justeru, pembersihan dalaman UMNO perlu dilakukan segera.
Kempen PN
Penggunaan media sosial oleh jentera kempen PN dilihat sangat memberikan kesan dan ini dapat dilihat strategi media yang keterlihatan sangat tinggi meskipun ia boleh dilakukan dengan cara komersial atau boost.
Taktik sebegini meningkatkan keyakinan bagi golongan sasar mereka.
Malah penggunaan selebriti agama atau pempengaruh (influencer), TikTokter, YouTuber dan sebagainya sangat berkesan.
Sesuai dengan sentimen agama yang mereka banyak manfaatkan, terdapat kelompok asatizah yang menyebarkan kempen-kempen secara halus dan sistematik untuk menyokong PAS dengan penggunaan ayat-ayat agama.
Ada yang berunsur meraih simpati seperti ungkapan “Undilah parti yang bela nasib Melayu Islam”, ada juga menggunakan ungkapan seperti, “Janganlah undi parti yang ramai musuh Islam di dalamnya”.
Bagi pengundi yang kurang literasi politik mereka mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah sedemikian.
Jentera PAS Selangor mulai menembusi Selangor melalui institusi agama seperti kariah-kariah surau dan masjid selain memperluaskan tadika Islam yang di bawah pengaruh PAS, dikenali sebagai PASTI bukan sahaja menjadi sumber kekuasaan masa depan anak-anak muda PAS, akan tetapi mampu mempengaruhi ibu bapa mereka memahami Islam versi pemahaman PAS.
Kerisauan ekonomi Melayu
Rata-rata peralihan undi Melayu kepada PN lebih kepada memancarkan suara kerisauan mengenai status sosioekonomi Melayu khususnya di negeri-negeri atau kawasan majoriti Melayu.
Pertumbuhan ekonomi yang perlahan lebih-lebih pasca Covid -19 banyak menjejaskan majoriti ekonomi orang Melayu.
Anak-anak mereka apabila keluar dari pusat pengajian tinggi sukar mendapatkan pekerjaan manakala ekonomi setempat tidak memberangsangkan.
Di pihak yang lain pihak kerajaan mengumumkan pelaburan bernilai berbilion-bilion yang impaknya belum sampai ke rakyat biasa.
Pembangunan pesat negara dan pelabur berteknologi tinggi seperti Tesla dalam industri kenderaan elektrik (EV) misalnya sangat mempersonakan akan tetapi ramai orang Melayu berasa mereka belum dapat selari denagn kepesatan tersebut.
Hambatan dalam kebudayaan kemajuan ekonomi menyebabkan mereka tersepit dan memerlukan pelindung atau penjaga yang kononnya mampu menjaga kepentingan etnik dan agama yang boleh terancam dengan kepelbagaian modeniti pesat ini.
Maka, dalam kebimbangan tersebut, PN mengunakan kesempatan untuk kempen naratif Melayu Islam bagi meyakinkan kononnya hanya PN sahaja mampu menjaga kepentingan Melayu dan Islam.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).