Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Analisis: Slot cari jalan keluar ketika krisis Liverpool semakin meruncing
  • SUKAN

Analisis: Slot cari jalan keluar ketika krisis Liverpool semakin meruncing

Utusan Sarawak 12 hours ago

Arne Slot menjuarai Liga Perdana Inggeris bersama Liverpool dalam musim pertamanya sebagai pengurus. Foto AFP

LONDON (United Kingdom): Kemerosotan Liverpool kini berubah menjadi krisis sebenar, apabila pengurus Arne Slot berusaha mencari jawapan segera selepas juara Liga Perdana itu tewas empat perlawanan berturut-turut buat kali pertama dalam tempoh lebih 10 tahun.

Pasukan The Reds tewas 2-1 kepada Manchester United pada Ahad — kekalahan pertama mereka di Anfield kepada musuh tradisi itu sejak Januari 2016.

Liverpool bernasib baik dalam tujuh kemenangan berturut-turut pada awal musim ini, dibantu oleh beberapa jaringan lewat, namun peningkatan prestasi yang diharapkan tidak berlaku.

Kini mereka telah tewas empat perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan buat kali pertama sejak November 2014, ketika Brendan Rodgers menjadi pengurus.

Berikut analisis oleh AFP Sport mengenai isu-isu besar yang perlu diselesaikan Slot bagi menyelamatkan musim Liverpool.

Mohamed Salah. Foto AFP

Kemerosotan Salah

Mohamed Salah kelihatan jauh daripada prestasi sebenar yang pernah menakutkan pertahanan lawan musim lalu ketika memenangi Anugerah Kasut Emas Liga Perdana.

Penyerang yang digelar “Raja Mesir” itu — tonggak utama serangan Liverpool — hanya menjaringkan satu gol dari permainan terbuka musim ini, iaitu pada minggu pembukaan liga.

Pada Ahad, beliau mensia-siakan dua peluang besar menentang United.

Salah juga tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika tewas kepada Galatasaray dalam saingan Liga Juara-Juara, dan sekali lagi dikeluarkan lebih awal dalam perlawanan Ahad meskipun Liverpool sedang memburu gol penyamaan.

Slot berharap ia hanya kemerosotan sementara bagi pemain yang menandatangani kontrak baharu dua tahun pada April lalu, namun kebimbangan timbul bahawa pada usia 33 tahun, prestasinya mungkin sudah menurun.

Bekas pertahanan Liverpool, Jamie Carragher, kini penganalisis Sky Sports, berkata Salah tidak sepatutnya diberi jaminan tempat tetap dalam kesebelasan utama setiap minggu.

“Saya tidak fikir Salah patut bermula setiap perlawanan sekarang, terutama perlawanan di tempat lawan, berdasarkan prestasinya,” kata Carragher.

“Adakah dia akan terima? Mungkin tidak. Tetapi apabila sampai usia tertentu dan prestasi merosot, apa alasan anda?”

Pembelian baharu yang bergelut 

Slot membuat pertaruhan besar pada jendela perpindahan musim panas, membelanjakan lebih AS$450 juta (RM2.1 bilion) untuk pemain baharu.

Kelab itu dua kali memecahkan rekod perpindahan mereka sendiri untuk membawa masuk Florian Wirtz (Bayer Leverkusen) dan Alexander Isak(Newcastle).

Alexander Isak masih belum menjaringkan sebarang gol Liga Perdana untuk Liverpool. Foto AFP

Namun, tiada seorang pun daripada mereka berjaya menjaringkan gol dalam Liga Perdana.

Hugo Ekitike, satu lagi pembelian mahal, mempamerkan potensi, tetapi kini kelihatan tersisih di belakang Isak yang masih tumpul.

Perbelanjaan besar Liverpool di bahagian serangan turut dipengaruhi oleh kematian tragik Diogo Jota dalam kemalangan kereta pada Julai lalu.

Kehilangan penyerang Portugal berusia 28 tahun itu masih dirasai di kelab.

Pertahanan Liverpool, Milos Kerkez (kiri), bergelut menyesuaikan diri sejak tiba di Anfield. Foto AFP

Di bahagian pertahanan, Milos Kerkez, yang menggantikan Andy Robertson di posisi bek kiri, masih gagal menyesuaikan diri, manakala Jeremie Frimpong juga belum menampilkan prestasi meyakinkan di sayap kanan.

Krisis Pertahanan

Adakah kegagalan Liverpool menandatangani Marc Guehi dari Crystal Palace pada hari akhir perpindahan akan menggagalkan usaha mempertahankan kejuaraan liga?

Sejak awal Mei, Liverpool telah bolos dua gol atau lebih dalam lapan daripada 12 perlawanan Liga Perdana — lebih banyak daripada mana-mana pasukan lain.

Pasukan Slot telah melepaskan 11 gol dalam lapan perlawanan liga, berbanding hanya tiga gol dibolosi Arsenal, pendahulu liga.

Kerkez dan Frimpong gagal mengisi peranan Robertson serta bek kanan lama Trent Alexander-Arnold yang telah berpindah.

Sementara itu, Ibrahima Konaté menerima kritikan hebat atas prestasi longgar, manakala kapten Virgil van Dijk turut dipersalahkan selepas terlibat dalam gol pembukaan Bryan Mbeumo pada Ahad.

Guehi dilaporkan enggan memperbaharui kontrak bersama Crystal Palace, dan dijangka meninggalkan kelab sama ada pada Januari atau akhir musim.

Namun, walaupun pemain pertahanan England itu akhirnya memilih Liverpool, langkah itu mungkin datang terlalu lewat untuk menyelamatkan musim mereka. – AFP

Continue Reading

Previous: Kent Boxing Club ungguli di Karnival Tinju Sibu, raih 12 pingat keseluruhan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.