
GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) mengemukakan tema Rumah Kita, Kita Jaga, Tanah Air Maju, Rakyat Berkemajuan yang menegaskan komitmen bahawa Sabah perlu dipelihara dalam konteks sentimen, keperluan, acuan, pemikiran dan perspektif tempatan.
Sebab itulah, manifestasi Rumah Kita, Kita Jaga terpancar dalam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini menunjukkan GRS memperoleh 286 389 pengundi, parti Warisan memperoleh 288,703 pengundi.
| Parti / Calon | Jumlah Undi | Peratus (%) |
| Warisan | 288,703 | 26.27% |
| GRS | 286,389 | 26.06% |
| BN | 144,584 | 13.16% |
| Pakatan Harapan (PH) | 75,938 | 6.91% |
| STAR Sabah | 73,410 | 6.68% |
| Calon Bebas | 69,771 | 6.35% |
| UPKO | 64,471 | 5.87% |
| KDM | 54,050 | 4.92% |
| Perikatan Nasional (PN) | 41,584 | 3.78% |
(Dipetik dan disesuaikan daripada The Star. 2025)
Berdasarkan statistik tersebut, didapati terdapat kecenderungan pengundi Sabah memilih parti tempatan atau calon Bebas, iaitu lebih tiga perempat keseluruhan undi yang mewakili 76.13 peratus.
Bermakna majoriti besar rakyat Sabah memilih parti tempatan dan calon Bebas tempatan. Parti nasional yang memberikan jumlah signifikan ialah Barisan Nasional (BN) yang mewakili 13.16 peratus dan ini satu peningkatan dari jumlah undi meskipun jumlah kerusi mereka susut daripada 14 kerusi kepda enam kerusi sahaja.
Parti nasional seperti Perikatan Nasional (PN) yang pada 2020 mempunyai 17 kerusi, kini hanya menang satu kerusi. Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai lapan kerusi pada 2020, kini juga hanya tinggal satu kerusi sahaja. Kesemua ini memberi makna besar terhadap landskap baharu terhadap politik negeri Sabah.
Isu tempatan mengatasi segala-galanya
PRN Sabah kali ini sekali lagi membuktikan bahawa negeri itu mempunyai ekologi politik tersendiri.
Petunjuk paling dominan bukan semata-mata parti atau tokoh besar di peringkat pusat, tetapi isu tempatan yang menyentuh kehidupan harian, seperti isu air, elektrik, jalan kampung, peluang ekonomi, dan kos sara hidup.

Pengundi Sabah, khususnya di luar bandar dan pinggir bandar, menilai sejauh mana calon benar-benar boleh menyelesaikan gangguan bekalan air, ‘blackout’ berulang, akses jalan balak yang belum dinaik taraf, dan peluang mata pencarian untuk anak muda.
Dalam konteks ini, parti hanya menjadi ‘payung’, sedangkan prestasi setempat calon menjadi penentu sebenar. Inilah realitinya, dan tidak kurang pengundi meletak harapan dan turut bereksperimen dengan pilihan baharu mereka.
Namun, faktor kepimpinan calon tidak boleh diketepikan. Di kerusi marginal dan kawasan pedalaman, reputasi peribadi – sama ada calon itu senang ditemui, pernah membantu ketika banjir, kematian, atau masalah tanah – sering mengatasi jenama parti.
Kemenangan calon Bebas Maijol Mahap di DUN Bandau misalnya membuktikan dalam aspek ini.
Sejarah lompat parti dan episod kerajaan tumbang–bangun pasca 2018 menjadikan tahap kepercayaan kepada parti sebagai institusi politik agak rendah; pengundi lebih bersandar kepada manusia, bukan logo.
Momentum GRS: Kelebihan penyandang dalam gelanggang berpecah
Dari segi momentum kempen, GRS menikmati banyak kelebihan berbanding pesaing. Antaranya ialah kelebihan besar sebagai penyandang (incumbency)yang menguasai jentera kerajaan, akses kepada maklumat, dan struktur pentadbiran hingga ke peringkat daerah.
GRS berjaya membingkaikan dirinya sebagai jawapan kepada trauma politik Sabah seperti episod lompat parti, tumbangnya kerajaan Warisan, dan ketidaktentuan pasca PRU14 meskipun ia juga sebahagian daripadanya sebelum ini.
Parti tempatan berpecah kepada Warisan, KDM, PCS, STAR, UPKO, calon Bebas; sementara PN pula gagal muncul sebagai alternatif meyakinkan.

Kombinasi ini meletakkan GRS di hadapan, tetapi dalam medan Sabah yang sangat fleksibel, kelebihan itu masih boleh digugat, terutamanya di kawasan bandar yang pengundinya lebih responsif kepada isu nasional, skandal integriti dan dinamika pusat–negeri.
Corak pengundian
PRN kali ini mengesahkan satu pola lama, iaitu faktor calon, isu tempatan mengatasi isu parti. Pengundi Sabah mencari wakil rakyat yang boleh dicapai, bukan hanya muncul musim pilihan raya, ada rekod membantu komuniti, harapan mampu menawarkan penyelesaian konkrit terhadap isu air, elektrik, jalan dan peluang kerjasama.
Inilah sebab mengapa kita melihat calon Bebas dan parti kecil boleh menang dalam suasana kompetitif. Sejumlah lima daripada 74 calon Bebas memenangi kerusi – sekitar 6.8 peratus – tetapi impaknya sangat besar kerana DUN tidak dikuasai satu parti dengan majoriti besar.
Bebas bukan sahaja simbol protes terhadap parti, malah menjadi ‘blok mini kingmaker’ dalam aritmetik pembentukan kerajaan.
Mobiliti, personalisme dan gabungan longgar
Berbanding negeri lain, Sabah menonjol dengan tiga ciri, iaitu mobiliti politik sangat tinggi – lompat parti, pembentukan gabungan baru, dan realignment adalah ‘normal baharu’ selepas 2018.
Tiada parti dominan tunggal yang setara dengan BN UMNO di Semenanjung.
Gabungan pula berasaskan personaliti, bukan ideologi manakala hubungan antara parti berubah mengikut tawar-menawar kuasa, bukan garis perjuangan ideologi yang jelas.
Gabungan boleh terbentuk sebelum PRN, dirombak selepas keputusan, dan dirunding semula apabila wujud tekanan baru. Keadaan ini menjadikan politik Sabah sukar diramal dan membuka ruang luas kepada tawar-menawar pasca pilihan raya, termasuk melibatkan calon Bebas dan parti kecil.
Model GRS vs GPS
Jika dibandingkan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak, GRS masih dalam fasa ‘work in progress’.
GPS kukuh kerana kesatuan elit politik yang relatif stabil, identiti politik negeri dibina sejak 1970-an, kepimpinan tersusun tanpa perebutan dalaman besar yang bocor ke khalayak, penguasaan sumber ekonomi yang memberi ‘leverage’ besar dalam rundingan dengan Putrajaya.
GRS pula bergelut dengan sejarah perpecahan pasca BN tumbang dan sejarah hubungan tegang dan putus–sambung dengan Bersatu, Warisan dan UMNO.
Maka, ketiadaan satu naratif besar yang benar-benar disepakati semua komponennya.
Namun, kelebihan GRS ialah keupayaannya memposisikan diri sebagai parti lokal yang masih rapat dengan Kerajaan Pusat, sekali gus menawarkan gabungan identiti Sabah dan akses peruntukan persekutuan.
Pengundi muda dan mengecilnya politik legasi
Politik legasi keluarga masih wujud, terutama di luar bandar di mana jaringan sosial dan nama keluarga memberi kelebihan. Tetapi pengaruhnya semakin mengecil di kalangan pengundi berusia 18–40 tahun.
Pengundi muda Sabah menunjukkan beberapa ciri lebih berasaskan isu (issue-based), bukannya kesetiaan buta kepada parti, sensitif terhadap skandal integriti, termasuk skandal mineral yang mencalarkan imej Kerajaan Pusat meskipun jumlah tidak dapat dianggar dengan tepat, dan aktif di media sosial, terdedah kepada naratif pelbagai blok politik serta sanggup menghukum calon atau parti yang dianggap kurang berjaya.
Bagi mereka, nama keluarga tidak lagi lesen automatik untuk undi, sebaliknya rekod kerja dan kejujuran menjadi ukuran utama.
Sentimen ‘Sabah for Sabahans’
Sentimen ‘Sabah for Sabahans’ kekal kuat sebagai slogan maruah, tetapi realitinya lebih kompleks. Pengundi tidak semestinya menolak parti Semenanjung secara total; mereka lebih menolak mana-mana parti atau calon yang gagal menyelesaikan isu asas.
Yang diidamkan ialah pemimpin yang mempertahankan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), isu 40 peratus hasil dan autonomi, pada masa sama, mengekalkan hubungan kerja yang berkesan dengan Putrajaya untuk membawa projek dan dana pembangunan.
Di sinilah kelebihan GRS yang tampil sebagai blok lokal yang tidak memutuskan hubungan dengan Kerajaan Pusat, berbeza dengan pendekatan lebih konfrontasional yang cuba diposisikan sebahagian parti lain.
Kestabilan pasca PRN
Persoalan besar selepas keputusan ialah ketahanan dan kestabilan kerajaan. Perkara ini dapat berlaku jika GRS sebagai blok utama memperoleh sokongan tambahan daripada UPKO, sebahagian BN, STAR, KDM dan majoriti calon Bebas, juga perjanjian pasca-PRN perlu dibuat dengan jelas, cepat dan dihormati tanpa episod ‘keluar–masuk’ yang berulang.
Jika majoriti hanya tipis atau wujud kelompok yang masih menimbang antara kerajaan dan pembangkang, maka risiko ketidakstabilan kekal tinggi kerana budaya penjajaran semula belum hilang.
Kunci sebenarnya ialah disiplin politik dan komitmen menolak lompat parti, bukan sekadar angka majoriti di kertas.
Cabaran kerajaan baharu
Bagi mana-mana kerajaan yang terbentuk, 100 hari pertama akan menjadi ujian keabsahan politik.
Sekurang-kurangnya lima cabaran besar menanti iaitu menyusun pemetaan lebih jelas dalam usaha menyelesaikan krisis air dan elektrik, bukan sekadar pengumuman projek, menstabilkan politik dan meminimumkan insentif lompat parti, mengurus rundingan dengan Putrajaya tentang MA63, hasil minyak dan kedudukan fiskal.
Juga memulihkan keyakinan pelabur dan rakyat terhadap keupayaan kerajaan negeri selain menstruktur semula jentera pentadbiran supaya lebih cekap, telus dan responsif serta bebas rasuah.
Jika kerajaan baharu gagal menangani isu ini, kelebihan yang diperoleh dalam PRN kali ini boleh bertukar menjadi liabiliti menjelang PRU16 atau PRN akan datang.
Keputusan PRN ini satu amaran serius, jenama PH dan naratif Madani masih lemah di Sabah. Skandal mineral, isu kos sara hidup dan kelembapan reformasi dirasai di peringkat akar umbi.
Jika Kerajaan Pusat tidak menunjukkan hasil konkrit dalam 12–18 bulan akan datang – khususnya dalam isu air, elektrik, infrastruktur dan pelaksanaan sebenar MA63 – Sabah boleh menjadi petunjuk awal kepada keresahan wilayah lain.
Ringkasnya, PRN Sabah bukan sekadar cerita siapa menang berapa kerusi, tetapi cerminan tuntutan dan kemahuan rakyat, maruah negeri, hak perlembagaan, dan yang paling utama – hak mendapatkan kehidupan yang lebih bermaruah melalui air bersih, elektrik stabil, jalan yang boleh dilalui, dan peluang ekonomi yang nyata.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) dan kini ialah Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.