PERIKATAN Nasional (PN) berjaya mengekalkan kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap. Calon PN Abidin Ismail, 56, memenangi kerusi berkenaan apabila memperoleh 14,489 undi menewaskan pencabarnya dari Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi.
Jumlah keluar mengundi pada PRK ini ialah sebanyak 63 peratus, dan ini bermakna peratus mengundi turun 13 peratus kerana pada PRN lalu sebanyak 76 peratus keluar mengundi. Pada PRK ini, pengundi Melayu ialah sebanyak 59 peratus bersamaan 23,253 pengundi. Didapati 70 peratus pengundi keluar dan daripada itu, 79 peratus atau sebanyak 12,776 memangkah PN.
Daripada 22.5 peratus pengundi Cina di Sungai Bakap, hanya 47 peratus atau 4,154 pengundi Cina keluar mengundi. Begitu juga pengundi India yang mewakili 17.4 peratus (6,834 pengundi) dan didapati 58 peratus bersamaan 3,964 pengundi yang keluar mengundi.
Sebab itu, dikatakan sekiranya pengundi India dan Cina turun hampir 90 peratus, maka ia boleh mengubah keputusan PRK tersebut. Apa pun, tidak ramai pengundi Cina yang keluar mengundi kerana mereka percaya bahawa keputusan itu tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri dan persekutuan. Kalau kita lihat juga, yang banyak terlibat dalam perdagangan besar dalam penggunaan diesel ialah golongan peniaga etnik Cina. Perkara ini dipercayai turut menimbulkan ketidakpuasan mereka.
Isu setempat
Undi simpati kepada penyandang sebelum ini yang pernah berkhidmat dan kemudian meninggal dunia memberikan sentimen yang tinggi. Ini ditambah lagi penyelaras lebih dikenali kerana sentiasa bersama penyandang kemudian menjadi calon PN. Banyak situasi yang menyebabkan ayunan undi kepada PN. Meskipun jentera Kerajaan Persekutuan dan negeri datang berkempen, gabungan parti-parti utama turut berkampung. Pun begitu, jentera kempen PN dari pelbagai negeri dan kawasan turut hadir dan berkampung di DUN Sungai Bakap.
Bekalan air
Isu setempat bekalan air di kawasan Mukim 5, Sungai Bakap disebabkan oleh Sungai Muda adalah satu-satunya sumber air bagi Pulau Pinang manakala loji rawatan air di Bukit Panchor tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan air. Berlaku juga perbezaan pentadbiran antara kerajaan negeri dan Persekutuan, menyebabkan isu air tidak dapat diselesaikan dengan berkesan. Terdapat juga masalah tekanan air yang tidak mencukupi menyebabkan bekalan tidak sampai ke kawasan Sungai Duri dan Seruling Emas dan kerajaan negeri telah mencuba beberapa kaedah penyelesaian termasuk projek pemasangan pam di Rumah Pam Permatang Tinggi yang tidak berjaya.
Kini, pembinaan Loji Rawatan Air sementara di Sungai Duri bagi membantu menyelesaikan masalah di 123 rumah berdekatan. Begitu juga Projek LRA Bukit Panchor yang dijangka menyelesaikan masalah air di seluruh Daerah Seberang Perai Selatan. Masalah air di Mukim 5 berlarutan selama enam tahun dan menjadi tumpuan dalam kempen PRK Sungai Bakap. Hal ini kerana pengundi mendakwa kerajaan negeri dan syarikat operator air gagal menangani masalah ini dengan baik, menafikan hak mereka mendapat bekalan air yang sempurna dan digunakan sebagai kempen protes kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dalam konteks PRK Sungai Bakap.
Sentimen pengundi masih memihak PN kerana pelbagai isu luaran seperti Black Rock dan pelaksanaan subsidi diesel digunakan dengan berkesan oleh pembangkang semasa kempen pilihan raya kecil manakala pencerahan dan sanggahan kerajaan perpaduan mengenai isu-isu tersebut tidak sampai kepada pengundi di peringkat akar umbi dengan berkesan. Maka, sudah tiba masanya pihak Kerajaan Perpaduan memperhebatkan jentera bagi pencerahan dasar rasionalisasi subsidi yang telah mencetuskan ketidakfahaman, kekeliruan, menjadi negatif yang menyebabkan kesan kepada peningkatan kos sara hidup.
Undi muda
Undi Muda juga dikatakan tidak memihak akibat kempen media sosial di pihak kerajaan dilihat lemah, kurang kreatif dan tidak berganda. PDM saluran undi muda didapati dikuasai oleh PN. Literasi politik rendah menyebabkan terdedah kepada pengaruh berita separuh benar atau dimanipulasi. Di media sosial seperti di TikTok, pelbagai serangan terhadap Kerajaan Perpaduan dan parti, namun tindak balas agak perlahan dan tidak banyak. Begitu juga iklan-iklan pendek kurang berleluasa digunakan, apatah lagi podcast, info grafik tidak tersebar luas.
Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) dan Jabatan Strategi Komunikasi (Stratcom), Jabatan Penerangan, malah sayap penerangan dari parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan juga perlu diselaraskan dengan baik untuk hasilkan impak berkesan dalam penyampaian. Bergerak ke depan, jentera-jentera penerangan kerajaan perlu lebih proaktif dan bergerak ke depan dalam menjayakan komunikasi politik berkesan hingga ke bawah. Apa-apa sebelum melakukan pembaharuan seperti penyasaran subsidi perlu ada townhall, pihak pelbagai agensi perlu pastikan dapat menggerakkan penerangan dengan lebih meyakinkan.
Isu tempatan seperti kesesakan jalan, kemudahan infrastruktur turut menjadi api dalam serkam yang dilihat tidak dapat diselesaikan, kos hidup yang tinggi dirasai dan diletakkan beban terhadap Kerajaan Perpaduan meskipun isu ini sentiasa berlaku tanpa mengira kerajaan yang memerintah. Sudah pasti pengundi mahu semak dan imbang diteruskan dan kemenangan PN akan dapat membawa suara bagi pastikan semak dan imbang berlaku terus berlaku di DUN Pulau Pinang.
Pendekatan bertanggungjawab kerajaan dalam melakukan penyasaran subsidi diesel bersasar masih sukar diterima ramai. Rakyat dilihat mahu lebih banyak pendekatan populis bagi menyantuni meskipun ia boleh memudaratkan ekonomi negara jangka panjang.
Duri dalam daging
Masih terdapat sabotaj dalaman dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana parti tersebut belum menjalani pembersihan secara menyeluruh di peringkat pertengahan dan akar umbi dan ini menjadi duri dalam daging. Selama ini, peringkat ahli politik tertinggi sudah dibersihkan namun peringkat menengah dan cawangan masih lagi ada yang menjadi duri dalam daging dan ini mengakibatkan berlaku sabotaj dalaman. Aspek perlu diberikan perhatian oleh kepimpinan tertinggi UMNO. Begitu juga penggunaan kata-kata buruk seperti ‘bahalol’ dan ‘bodoh’ yang digunakan oleh Rafizi menyebabkan kemarahan pengundi. Perbandingan berlebihan kelayakan akademik tinggi calon PH juga dilihat mamakan diri kempen itu sendiri.
Sentimen dan emosi
Menurut Zambry Abdul Kadir, Pengarah Pilihan Raya PRK Sungai Bakap, “Suasana politik hari ini amat berbeza. Kita berhadapan dengan keadaan yang dikatakan ‘The Politics of Emotions’. Rakyat memberi respon kepada politik semasa melalui naratif yang dicipta dan membuat penilaian semasa yang dimainkan menyentuh sensitiviti mereka sama ada dari sudut agama dan bangsa. Dan inilah yang menjadi cabaran kepada kerajaan semasa. Sebagai contoh, meskipun Malaysia yang dipimpin oleh Perdana Menteri adalah negara yang paling lantang berjuang untuk pembelaan nasib rakyat Palestin, tetapi ia ditenggelamkan oleh isu MAHB (Malaysia Airports Holdings Bhd) yang 30 peratus sahamnya akan dibeli oleh GIP dan Blackrock pula akan memiliki GIP.’’
Begitu juga seperti diingati oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bahawa politik sekarang bukan semata-mata politik pembangunan, akan tetapi politik isu dan sentimen yang perlu dijuarai. Tanpa penggunaan media sosial yang berkesan ia boleh mengakibatkan kekalahan meskipun pelbagai dasar yang baik dilaksanakan untuk negara.
Apa pun, perlu dinyatakan bahawa hingga kini terdapat lapan kali ‘pertempuran’ PRK diadakan. Hakikatnya, Kerajaan Perpaduan masih lagi memenangi lima daripada 8 PRK tersebut termasuklah di Simpang Jeram, Pulai, Pelangai, Kepak, Kuala Kubu Bahru. PN pula baru menang tiga di Kuala Terengganu, Kemaman dan Sungai Bakap.
Perjalanan politik dan pilihan raya kecil masih panjang dan Kerajaan Perpaduan mempunyai tempoh tiga tahun berbaki sebelum tamat penggal dan ini barulah peperangan sebenar dalam pilihan raya besar dan bukannya pertempuran dalam pilihan raya kecil yang tidaklah mencerminkan keseluruhannya.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).