PILIHAN Raya Kecil (PRK) Jepak diadakan selepas kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip. Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) ini tidak terpisah daripada politik khidmat penyandang tersebut. Hal ini kerana sejak DUN Jepak diwujudkan pada 1996, arwah Talib menjadi penyandang pertama sehingga kematiannya pada 15 September lalu.
Situasi ini bermakna sudah memasuki hampir penggal keenam atau lebih 25 tahun kawasan ini diwakili arwah. Siri pilihan raya negeri (PRN) sejak PRN ke-7 hingga ke-12 membuktikan keunggulan dan pencapaian Talib di Jepak. Kemenangan demi kemenangan diperoleh seolah-olah Talib Zulpilip itu adalah Jepak, dan Jepak itu adalah bayangan Talib Zulpilip. Sudah tentu, kematiannya memberi kesan kepada pengundi Jepak yang selama ini hanya diwakili calon tunggal Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tanpa cabaran besar oleh lawan politiknya.
Cabaran Parti
Apabila PRK diadakan, ia membuka ruang kepada parti-parti lain untuk turut bertanding meskipun tidak mudah untuk mengalahkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang umpama gergasi politik di Sarawak. Parti Bumi Kenyalang (PBK) misalnya tidak mahu memberikan laluan mudah kepada GPS untuk menang tanpa bertanding.
Stevenson Joseph Sumbang seorang ahli perniagaan membuat keputusan untuk bertanding bagi mewakili PBK. Begitu juga bagi Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) yang meletakkan ahli perniagaan emas dan hospitaliti, iaitu Chieng Lea Phing untuk bertanding di Jepak. Anak kelahiran Bintulu dan menetap di Jepak ini sudah lama berkecimpung dalam dunia politik Aspirasi sejak 10 tahun lalu yang mahu tidak ada yang ketinggalan dalam arus pembangunan dalam mengecapi kesejahteraan hidup.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula membuat keputusan tidak meletak calon dalam PRK Jepak. Hal ini kerana Pakatan Harapan (PH) adalah peneraju Kerajaan Perpaduan dan bekerjasama di peringkat Persekutuan. Ia juga agar dapat menjaga perpaduan dan kestabilan politik negara dan menghormati mandat rakyat kepada GPS memandangkan DUN Jepak dimenangi GPS pada PRN 2021.
PRK Jepak diadakan pada 4 November lalu dan mempunyai 22, 731 pengundi berdaftar. Dalam PRK Jepak ini, Iskandar Turkee dari GPS memperoleh 9,638 undi manakala Stevenson (PBK) mendapat 854 undi dan Chieng (Aspirasi) mendapat 431 unid. Maka, calon GPS mendapat majoriti besar dalam PRK ini dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak menggantikan Talib Zulpilip. Terdapat enam Pusat Daerah Mengundi yang menjadi tumpuan, iaitu Kuala Tatau, Sri Dagang, Jepak Segan, Sg. Ngiju dan RPR Sebiew.
Analisis Isu PRK Jepak
Sepanjang PBB menjadi tonggak utama parti di Jepak, banyak limpahan pembangunan terhasil. Pembangunan masa depan termasuk kampus Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bintulu yang merupakan projek Kerajaan Persekutuan di kawasan DUN Jepak yang melibatkan kos pembinaan RM122 juta dan dijangka beroperasi pada Mac 2024.
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pula memperuntukkan RM10 juta bagi projek pembinaan parit monsun dari Kampung Warisan Jepak Ke Sungai Batang Kemena, antara kawasan penempatan utama bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku.
Lebuh Raya Pan Borneo melalui DUN Jepak dapat membawa limpahan lonjakan sosioekonomi pembangunan di sekitar Jepak. Masalah internet disedari maka usaha penaiktarafan internet jalur lebar dengan agensi Kerajaan Persekutuan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan agensi negeri, Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dilakukan.
Pun begitu, isu rumah mampu milik, rumah pertama, peluang pekerjaan, suara-suara mahukan diperbanyakan lagi skim petempatan semula, pembesaran kampung adalah isu yang pengundi Jepak mahu dilakukan secara meluas. Pengundi juga mahu usaha membaik pulih rumah dan bantuan rumah panjang diteruskan dengan lebih banyak lagi usaha sebegini dilakukan tanpa bermusim.
Keinginan pengundi yang mahukan lebih banyak prasarana, latihan keusahawanan kepada golongan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dilakukan secara menyeluruh. Begitu juga nasib peniaga dan penjaja di Jepak yang mahukan prasarana lebih baik lagi. Sudah tentu tuntutan-tuntutan ini dilihat mampu dilakukan oleh parti yang memegang teraju pemerintahan negeri, walaupun terdapat juga isu sedemikian dibangkitkan juga oleh pihak pembangkang.
Isu Keahlian Parti
Isu pemilihan calon bukan dalam kalangan ahli mana-mana parti dalam GPS untuk mewakili gabungan itu pada PRK Jepak pada mulanya mengecewakan ahli-ahli akar umbi kerana sudah lama mereka berada menjadi ahli setia parti, berkhidmat kepada parti, memegang jawatan parti tidak kurang penting di Jepak.
Namun apabila pemilihan calon, ahli parti tidak dicalonkan menurut seorang ahli akar umbi parti ketika ditemui. Faktor ini dipercayai antara faktor mempengaruhi jumlah turun mengundi yang hanya sekitar 48.57 peratus sahaja berbanding 63 peratus PRN ke-12 Disember 2021. Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka peratusan turun mengundi di PRK Jepak ialah 65 peratus.
Bagi menangani isu ini, gerak gempur berkempen dari rumah ke rumah terus dilakukan oleh GPS bagi memastikan sokongan terhadap GPS terus meningkat. Terdapat pelbagai ahli politik peringkat Persekutuan termasuklah Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turun berkempen. Begitu juga Premier, Timbalan Premier dan menteri-menteri tempatan turut berkempen di Jepak bagi memastikan kemenangan besar di Jepak.
Budaya Politik
Budaya politik PBB ialah menghormati keputusan Pengerusi GPS, dan pemilihan Iskandar Turkee, bekas penjawat awam dan dipercayai mampu memanfatakan pengalaman luas dalam isu sosial dan keselamatan bagi menyambung legasi penyandang sebelum ini.
Jepak adalah kubu kuat PBB dan GPS menjadi taruhan utama bagi memastikan kemenangan GPS. Selain mempunyai jentera kempen yang besar dan teruji, mekanisme dalam pengurusan kempen begitu efisien yang diketuai Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sebagai Pengarah PRK GPS Jepak.
Sebab itu, apabila faktor belia Jepak yang ramai bekerja dan belajar di luar Jepak memungkinkan penurunan undi, maka yang jentera akan pastikan mereka yang turun mengundi adalah majoriti terdiri daripada penyokong GPS. Inilah dilakukan oleh jentera GPS.
Pada masa sama, jentera dan sumber parti PBK dan Aspirasi pula adalah kecil dan terbatas. Maka, sudah pasti mereka menjangka tidak mudah mereka mampu mengalahkan GPS. Namun atas semangat demokrasi dan cuba memastikan tidak memberikan laluan mudah, maka ia diteruskan atas semangat pertandingan politik yang sihat.
Kalangan pengundi Jepak juga rata-rata yakin GPS boleh menang mudah, maka atas sikap mudah ini ramai yang tidak turun mengundi. Tambahan pula, ramai pengundi berpendapat, jika GPS kalah sekali pun, ia tidak dapat mengubah kedudukan kerajaan negeri Sarawak yang dikuasai majoriti besar oleh GPS. Sikap inilah antara faktor peratusan undi rendah dalam PRK Jepak ini.
Selebihnya, keyakinan GPS berada dalam landasan betul, berjaya menangkap imaginasi rakyat, sentimen ‘Utamakan Sarawak’, isu semasa termasuk hak Sarawak isu autonomi pendidikan, memiliki rangkaian penerbangan sendiri dan sebagainya mengukuhkan keyakinan bahawa GPS adalah terbaik dalam menerajui kerajaan negeri Sarawak.
Kesemua ini mempengaruhi faktor kemenangan dan pencapaian 88.3 peratus undi popular. Semoga Es, anak jati Kampung Sebiew mampu melonjakkan lagi pembangunan di DUN Jepak. Selamat menjadi YB (Yang Berkhidmat)!
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).