HAKIKATNYA, kejayaan calon dalam pemilihan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) banyak dipengaruhi oleh sokongan daripada sayap parti seperti Wanita dan Pemuda, yang membawa jumlah undi signifikan.
Jaringan kukuh di peringkat bahagian dan hubungan baik dengan pemimpin bahagian juga memberi kelebihan besar, kerana mereka mempunyai pengaruh terhadap perwakilan yang mengundi.
Selain itu, strategi kempen yang berkesan memainkan peranan penting, terutama dalam menyampaikan tawaran kepimpinan, membina hubungan dengan perwakilan, serta menonjolkan pengalaman dan kebolehan calon.
Karisma dan keterampilan peribadi turut menjadi faktor utama dan calon yang disenangi dan dihormati mempunyai peluang lebih tinggi untuk menang.
Namun, persaingan dalaman dan perpecahan parti boleh menjejaskan peluang kemenangan.
Jika seseorang calon dikaitkan dengan kem yang tidak popular atau mempunyai musuh politik dalam parti, ia boleh melemahkan sokongan terhadapnya.
ANALISIS PEMILIHAN
Pemilihan jawatan Naib Presiden PBB baru-baru ini menarik untuk dianalisis.
Dato Ibrahim Baki, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, memperoleh undi popular dan tertinggi dengan 910 undi, sekali gus mengukuhkan kedudukan politik beliau dalam radar politik Sarawak yang kini terbukti mempunyai kedudukan yang berpengaruh dalam parti.
Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, berjaya mempertahankan jawatannya dengan 900 undi, menunjukkan kepercayaan berterusan ahli parti terhadap kepimpinannya.
Datuk Dr Annuar Rapa’ee, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat, turut mempertahankan jawatannya setelah meraih 788 undi, membuktikan sokongan kukuh terhadap kepimpinannya dalam parti.
Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, yang dahulu pernah tewas dalam pemilihan Naib Presiden pada 2018, kini mendapat kedudukan dengan memperoleh 687 undi yang menunjukkan penerimaan yang baik dalam kalangan perwakilan parti meskipun dianggap ‘underdog’.
Hakikatnya tidak semua penyandang jawatan berjaya mengekalkan kedudukan mereka.
Datuk Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, gagal mempertahankan jawatannya selepas memperoleh hanya 546 undi, memberi isyarat perubahan dalam dinamik kepimpinan PBB.
Yang paling tidak dijangka ialah Dato Sri Abdul Karim Hamzah yang tewas dalam pemilihan Naib Presiden.
Enam calon bersaing untuk merebut empat jawatan Naib Presiden, kali pertama pertandingan diadakan pada 2018 atau dalam tempoh tujuh tahun.
ANALISIS KEMENANGAN
Apabila Ibrahim Baki bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, kawasan yang sudah 40 tahun disandang oleh Abang Johari menjadi ahli DUN Satok, ini memperlihatkan kepercayaan tinggi Premier Sarawak terhadap beliau kerana DUN Satok penuh dengan nostalgia politik Abang Johari.
Kepercayaan politik ini diperkukuh dengan lantikan sebagai Timbalan Setiausaha Agung PBB, ahli Lembaga Petronas dan Pengerusi Sarawak Energy Bhd hinggalah dalam soal perbincangan pembentukan kerajaan selepas pilihan raya umum 2022, Ibrahim turut kelihatan bersama Premier Sarawak berjumpa pengerusi Perikatan Nasional, kemudian berjumpa Pengerusi Pakatan Harapan dalam rundingan pembentukan kerajaan baharu negara.
Kemenangan Ibrahim ini memperlihatkan perwakilan mahu lulusan undang-undang, ahli korporat tersebut terus bekerjasama rapat dengan Premier dan parti bagi mewarnai hala tuju dan masa depan landskap politik negeri Sarawak.
Cuma persoalannya, adakah Ibrahim akan dilantik dalam jawatan Kabinet? Namun bukan mudah meninggalkan jawatan strategik seperti ahli Lembaga Petronas dan Pengerusi Sarawak Energy.
Kemenangan Julaihi pula dipacu oleh pengaruh kuatnya di kawasan luar bandar serta hubungan erat dengan akar umbi.
Sebagai Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, perwakilan melihat pentingnya pembangunan infrastruktur sebagai agenda yang perlu diteruskan. Jika kalah dibimbangi kedudukan Kabinet boleh terjejas.
Jaringan kuat dengan pemimpin cabang memastikan sokongan kukuh daripada perwakilan parti.
Tambahan pula, kredibilitinya yang bebas kontroversi menjadikannya pilihan selamat dalam persaingan sengit ini.
Annuar Rapa’ee merupakan seorang pemimpin yang moderat, profesional dan pengalaman akademik di univerisiti dan doktor perubatan memberikan kredibiliti tinggi dalam kalangan masyarakat dan perwakilan parti.
Apabila beliau bertanding, maka suara perwakilan dan isu pembangunan di zon tengah Sarawak dapat diliputi dengan naik.
Annuar juga dilihat dekat dengan golongan muda dan profesional, dan dilihat sebagai pemimpin berwawasan, terutamanya dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan.
Aspek ini menjadikannya calon yang dilihat mampu membawa dimensi baru dalam kepimpinan PBB, sekali gus menarik sokongan perwakilan yang mahukan pemimpin progresif.
Kemenangan Len Talif dipengaruhi oleh sentimen keseimbangan etnik dalam perwakilan Naib Presiden.
Suara pembangunan untuk luar bandar zon tengah, pentingnya perwakilan etnik Melanau bagi mewarnai barisan kepimpinan.
Beliau dikenali sebagai teknokrat sebelum menyertai politik, dilihat sebagai pemimpin yang mempunyai kepakaran dalam bidang yang relevan dengan pembangunan negeri penting bagi perwakilan yang mahukan keseimbangan antara teknokrat dan pemimpin politik dalam PBB.
Len banyak disokong daripada perwakilan yang mewakili kawasan luar bandar Sarawak, malah didapati Len Talif kelihatan bekerja sangat kuat dalam berkempen kali ini selepas kekalahan pada pemilihan PBB 2018.
ANALISIS KEKALAHAN
Di zon selatan, terdapat ramai calon bercitrakan Kuching yang bertanding.
Nama seperti Ibrahim Baki, Abdul Rahman Junaidi, Karim Hamzah adalah dilihat dari zon selatan.
Dari satu segi menunjukkan kepelbagaian bakat kepimpinan, namun dari satu segi lagi akan menyebabkan undi berpecah.
Secara rasionalnya, pengundi zon selatan sendiri akan memilih yang belum diberikan peluang menyandang jawatan naib presiden.
Karim Hamzah diketahui ramai sebagai antara pemimpin politik yang banyak menunjukkan prestasi tinggi khususnya dalam sektor pelancongan dan kesenian.
Karim Hamzah dan Abdul Rahman dianggap pemimpin kanan berpengalaman.
Namun, tidak mustahil terdapat kebimbangan dalam kalangan ahli parti bahawa pemimpin yang sudah terlalu dominan dalam kerajaan mungkin tidak perlu diberikan lebih banyak kuasa dalam parti.
Terdapat kebarangkalian bahawa perwakilan lebih cenderung memberikan peluang kepada pemimpin lain yang tidak mempunyai kedudukan tinggi dalam Kabinet Sarawak bagi memastikan keseimbangan dalam hierarki kepimpinan parti.
Karim Hamzah misalnya dianggap sebagai sebagai lantang, jujur dan berterus terang.
Dalam isu hubungan kerajaan-Persekutuan, beliaulah paling lantang bersuara mempertahankan hak Sarawak dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pelbagai isu lain.
Namun, pada kaca mata perwakilan, sudah pasti faktor lain juga dipertimbangkan termasuklah cara menangani atau menyantuni isu-isu semasa yang boleh mencetuskan tersalah tafsir oleh pihak lain.
Barangkali pula, disebabkan kedua-dua calon ini menganggap pertandingan pemilihan ini sebagai ‘perlawanan persahabatan’ dan kedua-duanya dilihat kurang berkempen secara agresif.
Menang atau kalah, tidak mengubah banyak lanskap politik Sarawak kerana budaya politik PBB sangat berdisiplin dan tertib.
Karim Hamzah misalnya, menyerahkan apa-apa sahaja keputusan kepada Presiden parti bagi menentukan kedudukan jawatan Kabinet yang disandangnya.
Beliau juga menerima kekalahan dengan jiwa besar dan menghormati keputusan perwakilan.
Sikap terpuji ini menunjukkkan budaya politik PBB kekal murni dan tidak ada budaya politik merajuk atau menyalahkan pihak lain atas kekalahannya.
POLITIK DINAMIK
Dalam budaya politik PBB, kempennya juga terletak pada jaringan dalaman, perbincangan tidak formal, dan faktor pengaruh kepimpinan secara berlapis halus ini boleh terpelanting jika tidak disusuri.
Namun, dalam dunia politik, kekalahan tidak bermakna akan gelap masa depan politik.
Takdir politik boleh berubah-ubah bergantung kepada roda politik semasa, masa depan dan sukar dijangka.
Tun Abdullah Ahmad Badawi misalnya pernah kalah dalam pemilihan Naib Presiden UMNO.
Begitu juga Tan Sri Muhiyiddin Yassin pernah kalah dalam pemilihan Naib Presiden UMNO.
Namun, kedua-duanya bangkit semula dalam politik akhirnya mencatat rekod menjadi Perdana Menteri.
Begitu juga Pehin Sri Adenan Satem pernah tewas dalam pemilihan Timbalan Presiden PBB, namun akhirnya berjaya menjadi Ketua Menteri Sarawak.
Apa pun, bagi yang menang dalam pemilihan ini sudah tentu tanggungjawab besar untuk memperkasa parti dengan lebih cemerlang dan membuktikan kepimpinan mereka sangat diperlukan oleh parti untuk bergerak ke depan!.
- Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasidan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).