PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi tersebut dengan kemenangan besar mencerminkan beberapa perkembangan penting dalam dinamik politik Johor dan Malaysia secara amnya.
Dalam konteks politik Johor yang lebih matang dan urban, kemenangan calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah dengan majoriti besar 20,648 undi, empat kali ganda daripada sebelum ini memberikan pelbagai petunjuk positif terhadap UMNO dan BN.
Pilihan raya ini bukan sahaja memperlihatkan kekuatan jentera BN, tetapi juga kelemahan strategi pihak pembangkang, Perikatan Nasional (PN), serta realiti baharu yang terbentuk dalam kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan BN.
Kadar kehadiran pengundi Cina rendah, Melayu tinggi
Situasi ini berupa suatu cerminan apati dan juga dapat dilihat sebagai perkiraan strategik. Satu aspek penting dalam analisis ini ialah kadar kehadiran pengundi yang agak rendah, sekitar 53 peratus, yang menjadi salah satu ciri umum dalam pilihan raya kecil.
Secara khusus, kadar kehadiran pengundi Cina dan India yang berada di bawah 35 peratus juga menjadi tanda tanya. Terdapat beberapa faktor yang boleh menjelaskan fenomena ini.
Pertama, pengundi Cina dan India atau segmen pengundi bukan Melayu, yang secara tradisinya lebih condong kepada PH, ada yang masih kurang senang dengan kerjasama PH-BN.
Walaupun ini tidak boleh dianggap sebagai boikot menyeluruh, kadar kehadiran yang rendah ini memberi isyarat bahawa ada ketidakpuasan hati terhadap situasi yang berlaku khususnya isu Ketua Pemuda UMNO dengan Teresa Kok mengenai isu halal dan sikap kurang bijaksana dalam situasi tersebut. Selain itu, majoriti besar yang diperoleh BN sebahagian besarnya disumbangkan oleh kekuatan jentera mereka dalam menggerakkan pengundi asas UMNO di akar umbi di seluruh kawasan.
Kehadiran pengundi yang lebih rendah biasanya memberi manfaat kepada parti yang mempunyai sokongan teras yang lebih tersusun dan komited, seperti BN. Jentera parti yang mantap dan tersusun ini dilihat mampu memobilisasi sokongan daripada kumpulan pengundi teras, terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu, walaupun dalam pilihan raya kecil, biasanya kurang mendapat perhatian besar.
Pengaruh calon muda
Kemenangan besar ini juga boleh dikaitkan dengan strategi BN dalam menampilkan calon muda dan baru. Pemilihan Syed Hussien sebagai calon Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang menunjukkan usaha UMNO untuk melakukan transformasi atau perubahan atau islah dalaman, terutamanya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Di bawah kepemimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, langkah menampilkan lebih ramai calon muda berkualiti adalah strategi jangka panjang bertujuan untuk membersihkan imej parti daripada unsur ‘warlord’ yang telah lama dikaitkan dengan UMNO.
Ternyata langkah ini berjaya membuktikan bahawa UMNO mempunyai pemimpin pelapis yang berpendidikan, setia, dan berhemah tinggi. Barisan pemimpin pelapis inilah yang menggantikan pemimpin UMNO sama ada dipecat, digantung atau tidak setia dengan perjuangan UMNO. Ternyata dalam UMNO, patah tumbuh hilang berganti dalam barisan kepimpinan yang ada. Walaupun tindakan ini mungkin dilihat tidak popular pada mulanya, terutamanya dalam kalangan ahli lama parti, ia mula membuahkan hasil dengan kemenangan ini. Sebenarnya inilah dilakukan oleh Zahid Hamidi pada pilihan raya umum dengan menggantikan pemimpin lebih puluhan tahun menjadi wakil rakyat seperti Shahidan Kassim, Annuar Musa, Tajuddin Abdul Rahman namun golongan yang sudah lama berkuasa ini memprotes dan ada yang sanggup bertanding atas tiket pembangkang.
Kesediaan UMNO membuka laluan anak muda
Pengenalan calon muda seperti Syed Hussien juga menunjukkan bahawa UMNO bersedia untuk melakukan pembaharuan dan ini berkemungkinan besar memberi kesan positif kepada imej parti dalam kalangan pengundi muda. Jika pola ini diteruskan dan UMNO semakin berani menampilkan lebih ramai calon muda dan berkebolehan, ia berpotensi untuk mengembalikan sokongan pengundi yang telah lama menjauhi parti tersebut. Tambahan pula, hubungan rapat calon BN dengan pelbagai pemimpin berbilang kaum juga memberi kelebihan strategik dalam kempen politiknya yang berjaya menawan hati pengundi.
Kelemahan strategi PN, taktik politik agama
Sebaliknya, kekalahan besar PN dalam PRK ini menimbulkan persoalan tentang keberkesanan strategi mereka di Johor, negeri yang dilihat lebih urban dan progresif. PN dilihat terlalu bergantung kepada isu retorik agama dan perkauman dalam propaganda politik mereka, satu pendekatan yang mungkin berhasil di kawasan luar bandar atau konservatif, tetapi tidak begitu efektif dalam kawasan seperti Mahkota.
Johor, dengan demografi yang lebih berbilang kaum dan progresif, memerlukan pendekatan yang lebih inklusif dan pragmatik dan ini gagal ditangani oleh PN.
Taktik serangan peribadi saat akhir yang digunakan oleh PN terhadap Syed Hussien, terutamanya pendedahan dakwaan lama yang melibatkan laporan polis 16 tahun lalu, juga memperlihatkan kelemahan strategi mereka. Pendedahan tersebut dilihat sebagai usaha terdesak untuk menjejaskan kredibiliti calon BN, tetapi ia tidak memberi impak yang besar kerana kes tersebut telah diklasifikasikan oleh pihak polis sebagai ‘No Further Action’ (NFA) dan calon sebenarnya mempertahankan OKU yang dianiaya. Maka, taktik serangan peribadi seperti ini telah memberikan kesan buruk terhadap imej PN, terutamanya apabila pengundi melihatnya sebagai percubaan untuk mengalihkan perhatian daripada isu-isu yang lebih substantif.
Naratif dasar oleh BN
Sebaliknya, BN berjaya membina naratif yang lebih konstruktif dan berfokus kepada dasar pembangunan, terutamanya dalam aspek ekonomi dan kebajikan rakyat. Kempen BN lebih tertumpu kepada isu-isu dasar yang menjanjikan masa depan lebih cerah, seperti pembangunan infrastruktur dan peningkatan ekonomi tempatan. Hal ini mencerminkan bahawa BN memahami demografi kawasan yang dihadapinya dan berjaya menyesuaikan naratif kempen mereka untuk menepati keperluan pengundi Mahkota.
Strategi ini juga memperlihatkan satu perbezaan ketara antara BN dan PN dalam kempen politik mereka. PN lebih cenderung menggunakan pendekatan bersifat retorik dan menyerang secara peribadi, manakala BN berjaya mengekalkan fokus pada dasar yang lebih pragmatik dan ini memberikan kelebihan kepada BN, terutamanya apabila berhadapan dengan pengundi yang lebih berpendidikan dan berfikiran jauh ke depan.
Impak kerjasama PH-BN
Kemenangan besar BN dalam PRK ini juga perlu dikreditkan kepada kepemimpinan Zahid Hamidi, yang berjaya menyelaraskan gerak kerja antara BN dan PH dengan baik. Kerjasama strategik antara kedua-dua parti ini diterjemahkan dengan baik di peringkat akar umbi, dan jentera gabungan PH-BN dilihat bergerak seiring dengan lebih efektif. Walaupun pada awalnya kerjasama ini mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengundi PH yang bukan Melayu, namun semakin lama ia semakin diterima, terutamanya apabila melihat keberkesanan gabungan tersebut dalam membawa kestabilan politik.
Namun, kerjasama PH-BN juga boleh membawa kepada potensi penurunan sokongan daripada pengundi bukan Melayu. Jika PH gagal menangani isu persepsi dan kebimbangan pengundi bukan Melayu terhadap kerjasama dengan BN akan hanya menguatkan kedudukan BN, maka ia boleh berpotensi untuk mencetuskan kadar kehadiran yang lebih rendah atau bahkan boikot dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Oleh itu, PH perlu berhati-hati dalam mengurus persepsi pengundi bukan Melayu terhadap kerjasama ini dan memastikan mesej politik mereka dapat menarik kembali sokongan pengundi bersasar.
Rumusan
Secara keseluruhan, kemenangan besar BN dalam PRK DUN Mahkota adalah satu isyarat jelas tentang kekuatan jentera politik mereka, terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu. PN gagal menyaingi strategi politik BN, terpaksa berhadapan dengan kekurangan sokongan di kawasan yang lebih urban dan progresif. BN berjaya mengembalikan sokongan teras mereka, juga berjaya mengimbangi strategi politik mereka antara calon muda, naratif pembangunan dan kerjasama dengan PH, yang membuahkan hasil dalam bentuk kemenangan besar.
PRK DUN Mahkota dapat menjadi cerminan penting dalam politik Johor dan dapat memberikan petunjuk kepada bakal berlaku dalam PRU-16, dengan PH dan BN perlu memastikan mereka mampu mengurus persepsi pengundi yang semakin kompleks, manakala PN perlu mengkaji semula strategi mereka untuk meraih sokongan di kawasan yang lebih berbilang kaum dan berfikir ke hadapan.
- Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasidan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).