
SEBUYAU: Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau kini seolah-olah diberi nafas baharu susulan penambahbaikan dan naik taraf kemudahan di sekolah berkenaan bagi meningkatkan keselesaan dan kualiti sesi pembelajaran di situ.
Yang paling ketara dapat dilihat, asrama putera sekolah berkenaan yang dahulunya berada dalam keadaan daif, kini tampil dengan wajah baharu hasil sumbangan bernilai RM800,000 daripada Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG), anak syarikat kepada Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Ketua Pegawai Eksekutif MLNG Mohamed Syazwan Abdullah@Laga Jenggi berkata menerusi sumbangan itu, kemudahan bilik darjah yang rosak telah dibaiki, manakala peralatan pembelajaran penting termasuk televisyen pintar, penyaman udara, rak logam, lampu tenaga solar dan kipas dinding industri turut disediakan.
Beliau berkata Program tahunan PETRONAS Powering Knowledge: MLNG Bestari Outreach, mengambil inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), telah melaksanakan usaha memulih dan menaik taraf sekolah-sekolah luar bandar yang daif, sekali gus memberi nafas baharu kepada institusi pendidikan berkenaan.
“Usaha ini ialah sebahagian daripada misi berterusan MLNG untuk memperkasakan pendidikan luar bandar di Sarawak memandangkan keadaan sekolah yang daif. Kami terdorong untuk membantu menaik taraf fasiliti-fasiliti di sekolah terbabit supaya pelajar berasa selesa dan bersemangat untuk belajar,” katanya sewaktu ditemui semasa perasmian program itu baru-baru ini.
“MLNG bukan kali pertama melakukan sumbangan seumpama ini, sebaliknya telah melaksanakan program seperti ini hampir setiap tahun, dengan kerjasama rapat Jabatan Pendidikan serta pemimpin masyarakat tempatan,” katanya.
Mohamed Syazwan berkata pada tahun lepas, MLNG telah membantu empat sekolah berdasarkan keadaan yang daif, manakala pada tahun ini menyasarkan untuk membaik pulih lima buah sekolah di luar bandar.
Berkaitan pemilihan SMK Sebuyau, beliau berkata perkara itu dibuat hasil kerjasama rapat dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah terlibat setelah dikenal pasti sangat memerlukan bantuan, manakala banyak pelajarnya bergantung pada kemudahan asrama sepenuhnya untuk meneruskan pembelajaran.
“Sebagai anak syarikat Petronas yang beroperasi di Sarawak, kami komited untuk memberikan semula kepada komuniti. Dengan menaik taraf kemudahan dan memperluas kapasiti asrama, kami bukan sekadar menambah katil … kami juga menghapuskan halangan kepada akses pendidikan,” katanya.
Beliau berkata kerja-kerja naik taraf di sekolah itu bermula pada Oktober tahun lepas dan siap sepenuhnya pada Januari tahun ini.
“Dengan penambahbaikan infrastruktur, tahap pendidikan dapat dipertingkatkan dan pembelajaran menjadi lebih menarik dan mudah diakses,” katanya.
Mohd Syazwan berkata sepanjang tahun ini sahaja, MLNG telah menyumbang televisyen pintar kepada PPD di Tatau dan Sebauh di Bintulu dan Belaga (Kapit), serta menyalurkan sumbangan kepada sekolah seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Tau, SK Sungai Tisang, dan SK Kuala Nyalau dengan kelengkapan pembelajaran asas.
Beliau berharap kehadiran Petronas dan MLNG di sekolah-sekolah luar bandar akan terus menjadi inspirasi buat anak-anak kampung untuk berani bermimpi, belajar bersungguh-sungguh, dan percaya bahawa kejayaan bukan hanya milik mereka yang berada di bandar.
Mohd Syazwan turut berkongsi pengalaman peribadinya sendiri sebagai seorang anak kampung yang berasal dari sebuah rumah panjang di Ulu Roban, Betong yang pernah merasai jerih perih untuk menimba ilmu dalam keadaan akses pendidikan yang amat terhad.
“Saya faham secara mendalam cabaran yang dihadapi oleh pelajar luar bandar, sebab itulah projek ini juga amat dekat di hati saya. Matlamat utama projek ini adalah untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyokong, memotivasikan dan melengkapi pelajar serta guru dengan kemudahan yang diperlukan,” katanya.
Sementara itu, ketua warden sekolah berkenaan Aqmar Arrifin Senawi berkata penambahbaikan asrama lelaki itu telah memberikan kelegaan besar kepada para guru dan pelajar, kerana ia bukan sahaja memperbaik kemudahan fizikal sekolah, tetapi juga akan menjadikan pelajar lebih bersemangat belajar dalam suasana baharu.
“Keadaan sekarang jauh lebih baik dan sangat membantu proses pembelajaran,” katanya dan menambah proses penambahbaikan itu telah membolehkan kapasiti penuh asrama sekolah itu hingga 240 pelajar dapat dicapai.
Pelajar tingkatan lima SMK Sebuyau Mohd Noor Airil, 17, berkata penambahbaikan sekolah itu memberikan perubahan yang lebih baik, terutamanya bagi pelajar sepertinya yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
“Kami dapat belajar dengan lebih selesa … dengan adanya televisyen pintar, dapat membantu sesi pembelajaran contohnya dengan menggunakan carian Google dan laman YouTube,” katanya.
Loreyna Felicia, 17, turut senada kerana sebelum ini kelasnya agak panas dan kurang selesa, sedikit sebanyak mengganggu tumpuan dan motivasi mereka untuk belajar.
“Saya harap usaha ini membantu saya dan pelajar lain untuk mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan. Bantuan yang paling dinikmati ialah televisyen pintar yang banyak membantu pembelajaran di dalam kelas menerusi kandungan berkaitan pendidikan,” katanya.– Bernama