
KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh JAKS Resources Bhd (JRB) telah memperoleh subkontrak bernilai RM37.87 juta untuk projek bekalan air di Kapit, Sarawak.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, JRB memaklumkan JAKS Sdn Bhd menerima surat lantikan bertarikh 17 Mac 2026 daripada I-Ilham Corporation Sdn Bhd untuk melaksanakan kerja-kerja subkontrak di Kawasan Nanga Merit, Kapit, sebagai sebahagian daripada Program Grid Bekalan Air Sarawak.
Menurut JAKS, tempoh pelaksanaan projek adalah selama 18 bulan, dengan skop kerja melibatkan pembinaan sebuah loji rawatan air serta kerja-kerja pemasangan paip berkaitan.
Syarikat itu memaklumkan subkontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan 2027.
“Pelaksanaan subkontrak ini tidak akan memberi kesan kepada modal saham dan struktur pegangan saham JAKS Resources,” katanya.
Selain itu, JAKS memaklumkan risiko yang berkaitan dengan projek tersebut adalah risiko operasi biasa dan boleh dikurangkan melalui kawalan pengurusan projek yang sedia ada.
Syarikat turut menegaskan bahawa tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam subkontrak berkenaan.
– Bernama