LIHAT POTENSI BESAR… AEB melihat potensi besar untuk pendigitalan di Malaysia memandangkan komitmen kerajaan untuk mengemudi negara ke arah bidang ini dengan pelancaran rangka tindakan ekonomi digital negara.
GEORGE TOWN: Anak syarikat Acer untuk cabang perkhidmatan teknologi maklumat (IT), Acer e-Enabling Service Business Inc (AEB), kini sedang mengintai peluang untuk melebarkan sayapnya ke Malaysia dan bekerjasama dengan syarikat-syarikat IT di sini.
Ketua Pegawai Strategi, Tayu Cheng berkata, syarikat itu melihat potensi besar untuk pendigitalan di Malaysia memandangkan komitmen kerajaan untuk mengemudi negara ke arah bidang ini dengan pelancaran rangka tindakan ekonomi digital negara.
“Dalam masa terdekat, kami berharap dapat membentuk pakatan dengan rakan kongsi IT di sini untuk membida program kerajaan atau membantu perusahaan tempatan melakukan perkhidmatan berasaskan awan atau mendigitalkan proses mereka. Terdapat banyak peluang di sini.”
“Kami perlu mengenal pasti rakan-rakan kongsi ini terlebih dahulu dan berkawan dengan mereka. Jika ia berjalan lancar, kami bersedia untuk membeli sebahagian daripada saham mereka dan bekerjasama dengan lebih (erat),” kata beliau kepada Bernama di luar acara Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia 2022 (WCIT 2022) yang berakhir baru-baru ini.
Beliau berkata, peristiwa-peristiwa yang berlaku di seluruh dunia seperti perang perdagangan AS-China, pandemik Covid-19 dan konflik Ukraine-Rusia telah mendorong harga dan inflasi untuk meningkat, sekali gus memaksa syarikat mencari penyelesaian untuk mengurangkan kos sambil mengoptimumkan proses mereka.
Ini juga telah mendorong pendigitalan yang lebih meluas untuk banyak pasaran kerana banyak syarikat mula membelanjakan lebih banyak untuk penyelesaian IT dan mula memilih perkhidmatan berasaskan awan.
“AEB telah ditubuhkan pada 2012 dan kami mula mengadakan infrastruktur untuk menyediakan perkhidmatan awan seawal 2016, jadi kami berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan aliran menaik ini.”
“Penyelesaian yang kami sediakan kepada pelanggan disesuaikan dengan keperluan mereka. Hal ini demikian kerana kami membuat penilaian dan merujuk mereka untuk mengetahui proses sebelum menggunakan penyelesaian IT kami kepada mereka,” kata beliau.
Sementara itu, AEB telah dianugerahkan Anugerah Perkongsian Awam/Swasta pada Anugerah Kecemerlangan ICT Global WITSA 2022, diadakan bersempena dengan WCIT 2022 untuk projek Taiwan i-Registration Platform of Cultural Events, yang diwujudkan untuk kementerian kebudayaan Taiwan.
Projek itu telah beroperasi sejak 2013 dan berjaya menarik 26 pengendali venue tempatan untuk menyertai platform, termasuk muzium, galeri seni, institut penyelidikan dan banyak lagi.
Platform berasaskan awan ini menyediakan perkhidmatan sehenti untuk orang ramai termasuk pertanyaan acara, pendaftaran dalam talian, tempahan untuk lawatan, penyewaan venue dan keahlian.
Platform ini menunjukkan teknologi terkini AEB yang mempercepatkan transformasi digital untuk pelanggannya, sambil turut menyumbang kepada persekitaran yang lebih hijau. – Bernama