Anak soleh, penyejuk hati dunia dan akhirat

Facebook
WhatsApp
PENGASAS FMC Kelah Eco Park, Azman Mustapha (kiri) bersama Pengarah INSPEK Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Ahmad Fahme Mohd Ali (tengah) melihat ikan kelah liar yang terdapat di dalam Sungai Koh di pedalaman Batu Mengkebang. Usaha yang dilakukan secara konsisten itu membawa kepada penubuhan FMC Kelah Eco Park yang diusahakan oleh Azman, 53, dengan ribuan ikan kelah jinak; spesies ikan sungai yang diketahui amat sensitif dengan bunyi atau pergerakan di air terutamanya kehadiran manusia; menjadi tarikan utama. Terletak kira-kira 15 kilometer dari Jalan Kuala Krai-Kota Bharu, kawasan perlindungan kelah yang ditubuhkan pada 2023 itu kini menjadi destinasi ekopelancongan berteraskan konservasi, pendidikan alam sekitar serta menjana limpahan ekonomi kepada komuniti setempat. Foto BERNAMA

ANAK merupakan anugerah dan amanah yang dikurniakan Allah SWT kepada setiap ibu bapa. Kehadiran mereka bukan sahaja membawa kebahagiaan, malah disertai tanggungjawab yang besar dalam membentuk keperibadian serta masa depan mereka.

Menjadi kewajipan setiap ibu bapa untuk mendidik anak agar beriman kepada Allah SWT, berakhlak mulia, taat kepada ibu bapa, dipelihara dengan sebaik-baiknya serta diberikan segala hak yang sewajarnya.

Dengan didikan yang sempurna, mereka diharapkan membesar sebagai anak yang soleh, sekali gus memberi manfaat kepada agama, masyarakat serta menjadi bekalan kepada ibu bapa di dunia dan akhirat.

Ibu bapa yang berjaya mendidik anak sehingga menjadi insan soleh akan memperoleh ganjaran yang berterusan daripada Allah SWT.

Hal ini sebagaimana dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang anak Adam meninggal dunia, terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya.”
(Riwayat Muslim)

Dalam Islam, anak-anak hendaklah diberikan didikan sejak usia awal, khususnya apabila mereka mencapai usia mumaiyiz, iaitu mampu membezakan antara yang baik dengan yang buruk serta antara yang benar dengan yang salah.

Selain pendidikan agama, ibu bapa juga bertanggungjawab membentuk akhlak mulia dalam diri anak-anak, seperti sifat jujur, amanah, menghormati orang lain, berbudi bahasa dan mengasihi sesama insan.

Didikan melalui contoh teladan jauh lebih berkesan berbanding nasihat semata-mata kerana anak-anak lazimnya mencontohi tingkah laku ibu bapa mereka.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap kamu ialah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang dipimpinnya.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

MEMBINA KOMUNIKASI BERKESAN DENGAN ANAK-ANAK

Dalam era digital masa kini, ibu bapa berhadapan dengan cabaran yang semakin kompleks.

Anak-anak mudah terdedah kepada pelbagai kandungan media sosial, permainan dalam talian dan hiburan yang berpotensi mempengaruhi pemikiran, sahsiah serta akhlak mereka.

Oleh itu, ibu bapa perlu menjadi sahabat kepada anak-anak dengan meluangkan masa bersama mereka, memantau penggunaan teknologi secara bijaksana serta mewujudkan komunikasi yang terbuka dan berkesan.

Hubungan kekeluargaan yang kukuh akan memudahkan anak-anak menerima nasihat dan teguran daripada ibu bapa.

Rasulullah SAW menunjukkan contoh terbaik dalam berinteraksi dengan kanak-kanak. Baginda sentiasa bersikap lemah lembut, bergurau serta menzahirkan kasih sayang kepada mereka.

Sabda Baginda yang bermaksud: “Bukan daripada golongan kami orang yang tidak mengasihi yang muda dan tidak menghormati yang tua.” (Riwayat al-Tirmizi)

Hadis ini menekankan kepentingan sifat kasih sayang dalam membina hubungan yang erat antara ibu bapa dengan anak-anak. Melalui pendekatan yang mesra, berhikmah dan penuh kelembutan, ibu bapa dapat menerapkan nilai-nilai murni, membentuk akhlak terpuji serta membimbing anak-anak agar sentiasa berada di jalan yang diredai Allah SWT.

Di samping itu, ibu bapa juga boleh mengeratkan hubungan dengan melibatkan diri dalam aktiviti harian anak-anak seperti belajar, bersukan, membaca al-Quran atau berbincang tentang perkara yang diminati mereka.

Hubungan yang rapat akan mewujudkan suasana keluarga yang harmoni, penyayang dan saling mempercayai.

Anak-anak yang mendapat perhatian serta sokongan daripada ibu bapa lazimnya mempunyai keyakinan diri yang lebih tinggi dan mampu membuat keputusan yang lebih baik dalam kehidupan.

Kesimpulannya, menjadi sahabat kepada anak-anak merupakan antara pendekatan yang paling berkesan dalam membentuk generasi soleh dan berakhlak mulia.

Hubungan yang diasaskan atas dasar kasih sayang, kepercayaan serta komunikasi yang baik akan menjadikan anak-anak lebih dekat dengan ibu bapa dan lebih mudah menerima didikan serta nasihat.

Dengan demikian, institusi keluarga akan terus menjadi tempat yang aman, harmoni dan bahagia, sekali gus melahirkan generasi yang beriman, bertakwa dan berakhlak mulia.

Bai’at al-Ridhwan

PERISTIWA Bai’at al-Ridhwan merupakan antara peristiwa penting dalam sirah Nabawiyah.

Melalui peristiwa inilah Allah SWT menurunkan ayat yang menyatakan keredaan-Nya terhadap para sahabat yang berbai’at kepada Rasulullah SAW di bawah sebatang pokok.

Peristiwa ini tercetus apabila Rasulullah SAW dan para sahabat menerima berita bahawa Saidina Uthman bin Affan RA dikatakan telah dibunuh oleh kaum Quraisy di Makkah.

Pada tahun keenam Hijrah, Rasulullah SAW berhasrat menunaikan ibadah umrah di Masjidil Haram. Baginda menyeru para sahabat supaya bersama-sama menyertai perjalanan tersebut.

Para sahabat daripada golongan Muhajirin menyambut seruan itu dengan penuh kegembiraan kerana sudah lama tidak pulang ke tanah air mereka.

Seramai 1,400 orang sahabat menyertai rombongan Rasulullah SAW untuk menunaikan umrah. Mereka turut membawa haiwan korban dan mengenakan pakaian ihram sebaik tiba di Zulhulaifah.

Hal ini membuktikan bahawa tujuan mereka adalah semata-mata untuk menunaikan ibadah umrah, bukannya berperang. Rombongan itu berangkat dari Madinah pada awal bulan Zulkaedah tahun keenam Hijrah.

Hudaibiyah ialah nama sebuah telaga yang terletak kira-kira 22 kilometer dari Makkah dan kini dikenali sebagai al-Syumaisi. Rasulullah SAW bersama para sahabat berkhemah di kawasan tersebut sebelum memasuki kota Makkah.

Namun demikian, pemimpin Quraisy enggan membenarkan mereka memasuki kota itu. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW mengutuskan Saidina Uthman bin Affan RA sebagai wakil untuk berunding dengan pemimpin Quraisy.

Saidina Uthman bin Affan RA berangkat ke Makkah di bawah perlindungan Abban bin Sa’id bin al-‘As. Setibanya di sana, beliau menyampaikan tujuan kedatangan Rasulullah SAW dan para sahabat, iaitu untuk bertawaf di Kaabah serta menunaikan ibadah umrah, bukannya menyerang Makkah.

Pemimpin Quraisy kemudian berkata kepadanya, “Wahai Uthman, jika engkau ingin bertawaf di Kaabah, silakan.” Namun Saidina Uthman menjawab, “Aku tidak akan bertawaf di Kaabah melainkan bersama Rasulullah SAW.”

Kenyataan tersebut menyebabkan pemimpin Quraisy berasa marah lalu menahan Saidina Uthman bin Affan RA.

Tempoh ketiadaan beliau yang agak lama menimbulkan kebimbangan dalam kalangan Rasulullah SAW dan para sahabat sehingga tersebar berita bahawa beliau telah dibunuh.

Berikutan itu, Rasulullah SAW mengarahkan para sahabat supaya berbai’at kepada Baginda sebagai tanda kesediaan mempertahankan agama dan menuntut keadilan sekiranya berita tersebut benar.

Semua sahabat yang hadir pada ketika itu memberikan bai’at kepada Rasulullah SAW dengan penuh keikhlasan dan semangat juang yang tinggi.

Setelah selesai bai’at, Rasulullah SAW menepuk tangan kanan Baginda dengan tangan kiri sebagai lambang bai’at bagi pihak Saidina Uthman bin Affan RA, seolah-olah beliau turut hadir bersama-sama para sahabat.

Seramai 1,400 orang sahabat menyertai bai’at tersebut, yang kemudiannya dikenali sebagai Bai’at al-Ridhwan.

Oleh Hanzalah Azman