SARIKEI: Kekurangan pendedahan dan maklumat antara cabaran yang boleh mengehadkan anak muda daripada meneroka peluang lebih luas dalam pendidikan, kerjaya, pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab berkata, anak-anak di Sarikei mempunyai potensi yang sama seperti rakan sebaya mereka di bandar besar, justeru akses kepada maklumat dan peluang perlu diperluaskan hingga ke sekolah dan komuniti.
“Sebab peluang dan maklumat perlu sampai kepada semua. Kita tidak mahu anak-anak di kawasan luar bandar atau kawasan seperti Sarikei merasakan bahawa peluang hanya berada di Kuching, Miri atau bandar-bandar besar.
“Mereka juga mempunyai potensi dan mereka juga berhak mendapat pendedahan yang sama,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Program Mansang Anak Sarawak Zon Sarikei 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sarikei Baru, hari ini.
Katanya, Program Mansang Anak Sarawak merupakan satu inisiatif yang membawa peluang, maklumat dan pendedahan secara terus kepada anak-anak Sarawak, khususnya golongan pelajar.
“Saya berharap program ini bukan sekadar satu program sehari, tetapi menjadi satu titik permulaan kepada anak-anak kita untuk mengenali lebih banyak peluang pendidikan dan kerjaya.
“Kadang-kadang pelajar kita bukan tidak mempunyai kebolehan, tetapi mereka tidak tahu peluang yang ada. Jadi kita mahu bawa maklumat dan pendedahan itu terus kepada mereka,” katanya.
Tambahnya, pendidikan juga tidak seharusnya dilihat hanya berdasarkan keputusan peperiksaan kerana pelajar perlu diberikan ruang mengenali pelbagai laluan yang bersesuaian dengan minat, kebolehan dan cita-cita masing-masing.
“Jangan hadkan cita-cita hanya kerana kita datang dari luar bandar. Yang penting ialah kita berani bermimpi, berani mencuba dan berani mengambil peluang yang ada.
“Kalau tidak tahu, bertanya. Kalau ada peluang, cuba. Jangan takut untuk keluar daripada zon selesa. Kerana masa depan Sarawak yang kita mahu bina bergantung kepada anak-anak muda kita hari ini,” katanya lagi.
Yusuf turut menekankan bahawa usaha membangunkan generasi muda bukan tanggungjawab kerajaan atau pihak sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan ibu bapa, agensi kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti.
Katanya, kehadiran Sarawak Volunteers, pihak sekolah dan rakan industri dalam program tersebut menunjukkan pembangunan golongan muda memerlukan kerjasama pelbagai pihak.
“Penglibatan industri seperti Petros dan Tegas juga penting bagi membolehkan pelajar melihat hubungan antara pembelajaran di sekolah dengan keperluan sebenar dunia pekerjaan.
“Pendedahan awal kepada industri dapat membantu pelajar memahami jenis kemahiran dan kelayakan yang diperlukan untuk merancang laluan pendidikan serta kerjaya mereka pada masa hadapan.
“Kita mahu anak Sarawak bukan sahaja menjadi penerima peluang, tetapi menjadi generasi yang bersedia untuk mencipta peluang dan memimpin Sarawak pada masa akan datang,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek




