Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUM
  • Anak Sarawak perlu rebut peluang jadi Jurutera Penyelenggaraan Pesawat di CENTEXS Lundu
  • KOLUM

Anak Sarawak perlu rebut peluang jadi Jurutera Penyelenggaraan Pesawat di CENTEXS Lundu

Utusan Sarawak 7 hours ago

LALUAN penerbangan AirBorneo pada fasa awal ini masih terhad, lebih tertumpu kepada kesinambungan operasi penerbangan Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) yang sebelum ini dikendalikan oleh MASwings.

Dengan skala operasi yang belum berkembang sepenuhnya, keperluan untuk menambah tenaga kerja baharu juga belum berada pada tahap mendesak.

Namun, apabila rangkaian operasi berkembang ke destinasi yang lebih banyak dan lebih jauh, penambahan pesawat akan menjadi keperluan yang tidak dapat dielakkan.

Seiring dengan itu, AirBorneo pasti memerlukan tenaga kerja yang lebih besar, merangkumi juruterbang, kru kabin, jurutera penyelenggaraan serta pasukan sokongan operasi darat dan teknikal.

Oleh itu, bagi memastikan kelancaran operasi, kerajaan Sarawak turut mempersiapkan laluan kerjaya yang membolehkan anak-anak Sarawak terlibat secara langsung dalam pengembangan AirBorneo.

Sebagai langkah strategik memenuhi keperluan tenaga kerja dalam bidang aeroangkasa ini, kerajaan Sarawak telah menubuhkan Akademi Aeroangkasa di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Lundu bagi menyediakan laluan profesional yang tersusun kepada anak tempatan dalam bidang ini termasuklah sebagai Jurutera Penyelenggaraan Pesawat (AME).

Akademi Aeroangkasa Sarawak yang ditubuhkan melalui kerjasama antara Aviation Design Centre (ADC) dan CENTEXS menjadi teras kepada usaha ini.

ADC sebagai rakan industri mempunyai latar belakang kukuh dalam penyelenggaraan dan sokongan teknikal pesawat serta beroperasi dalam ekosistem yang berkait rapat dengan Industri Aeroangkasa dan Pertahanan Nasional (NADI).

PELAJAR Akademi Aeroangkasa di Centexs Lundu.

Hubungan strategik ini dapat memastikan latihan yang dirangka di Lundu tidak terpisah daripada realiti industri sebenar, sebaliknya disusun agar selari dengan keperluan operasi dan piawaian profesional yang diguna pakai dalam organisasi penyelenggaraan pesawat.

Pada masa sama, NADI berperanan sebagai penghubung antara dasar pembangunan Sarawak dengan pelaksanaan industri apabila syarikat yang berada di bawah naungannya seperti Airod Sdn Bhd, syarikat kejuruteraan aeroangkasa terkemuka Malaysia, dapat dimanfaatkan sebagai medan latihan sebenar dan peluang pekerjaan selepas tamat fasa akademik.

Terdapat tiga kursus AME ditawarkan di situ, iaitu kategori B1.1 untuk pesawat terbang turbin, B1.3 untuk helikopter turbin dan B2 bagi bidang avionik.

Walaupun pada peringkat ini tahap kelayakan ialah sijil, namun ia merupakan laluan yang diiktiraf industri dan menjadi asas penting sebelum melangkah ke peringkat lesen penuh sebagai AME.

Pelajar akan didedahkan kepada subjek asas selaras dengan ketetapan Direktorat Kelayakan Udara Teknikal (DGTA) yang turut selari dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) selama lapan bulan di Lundu.

Subjek-subjek ini merangkumi asas fizik, aerodinamik, undang-undang kelayakan udara dan beberapa komponen teori lain, di samping pendedahan kepada penggunaan peralatan asas penyelenggaraan dan cara kerja yang diperlukan dalam industri.

Selain itu, penekanan turut diberikan kepada bahasa Inggeris teknikal dan matematik kerana kedua-dua elemen ini menjadi asas kepada pembacaan manual penyelenggaraan, tafsiran data teknikal dan pengiraan kejuruteraan yang tepat.

Setiap kursus ini hanya menawarkan maksimum 25 orang sekelas bagi mematuhi standard ditetapkan oleh pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan DGTA.

Selepas melalui fasa teori dan latihan asas di Lundu, pelajar akan menyambung latihan semasa bekerja (OJT) selama 14 bulan di Subang melalui rangkaian syarikat di bawah pengurusan NADI seperti ADC dan Airod.

Dalam tempoh ini pelajar ditempatkan di hangar sebenar yang memberi peluang untuk terlibat secara langsung dalam pemeriksaan berkala, kerja pembaikan dan penggantian komponen serta memahami tatacara dokumentasi pelepasan teknikal yang ketat.

Malah, setiap tugasan yang dilakukan perlulah direkodkan sebagai sebahagian daripada pengalaman yang diperlukan untuk proses perlesenan.

Pengalaman industri ini amat kritikal kerana laluan mendapatkan lesen jurutera penyelenggaraan tidak bergantung kepada sijil akademik semata mata.

Sepanjang pengajian di Subang, keperluan asas pelajar turut ditaja sepenuhnya yang merangkumi penyediaan kediaman, pengangkutan dan elaun saraan bagi membantu mereka menampung kos harian sepanjang tempoh latihan.

CENTEXS Lundu juga kerap menerima pelawat terutama pelajar. Foto FB Centexs Lundu

Selepas graduasi di CENTEXS, pelajar sebenarnya masih belum memperoleh lesen untuk menjadi AME, maka mereka akan diserap bekerja di syarikat dalam rangkaian NADI supaya boleh terus mengumpul pengalaman sehingga layak untuk memohon kelulusan dan memperoleh lesen kerja.

Hal ini kerana seorang AME perlu memenuhi beberapa syarat asas sebelum dibenarkan memperakukan kerja penyelenggaraan di bawah kerangka peraturan CAAM, termasuk kelulusan modul pengetahuan, tempoh pengalaman praktikal yang mencukupi serta penilaian kompetensi.

Keperluan ini turut merangkumi syarat umur minimum 21 tahun, tahap kesihatan yang baik tanpa kecacatan buta warna, serta sekurang-kurangnya dua tahun pengalaman praktikal pada pesawat operasi sebenar sebagai asas kepada pengiktirafan kelayakan tersebut.

Malah, seorang AME yang telah memperoleh Licence Without Type Rating (LWTR) masih belum diberikan kebenaran untuk memperakukan kelayakan sesuatu pesawat untuk berlepas.

Kebenaran itu hanya boleh diberikan setelah seseorang itu melengkapkan latihan khusus dan memperoleh ‘type rating’ bagi pesawat berkenaan.

‘Type rating’ ini merujuk kepada kelayakan khusus yang diperoleh melalui latihan dan penilaian terperinci pada satu‑satu jenis pesawat, meliputi sistem, konfigurasi dan prosedur penyelenggaraan pesawat tersebut.

Perkara ini bermaksud seorang AME hanya dibenarkan untuk memeriksa dan menilai pesawat yang khusus mengikut kelayakan ‘type rating’ yang telah diperakui kepadanya.

Jika seorang AME diberikan ‘type rating’ untuk pesawat ATR72, beliau tidak boleh menjalankan pemeriksaan atau menilai pesawat model lain kerana kelayakannya hanya terpakai untuk jenis pesawat yang telah diperakui kepadanya.

Selain tiga kursus ini, terdapat tiga lagi kursus yang berkait rapat dengan keperluan industri penerbangan iaitu Sheet Metal, Machining Operations dan Computer Numerical Control (CNC) Machining.

Ketiga-tiga kursus ini turut melalui proses latihan yang hampir sama, bermula dengan pengajian teori di Lundu sebelum pelajar menjalani latihan praktikal di Subang.

Peluang kerjaya bagi pelajar yang mengikuti kursus ini juga cerah kerana industri pembuatan pesawat terbang sedang berkembang dan memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir untuk menyokong rantaian pengeluaran serta penyelenggaraan struktur pesawat moden.

Pada masa akan datang, kursus seperti kru kabin atau juruterbang mungkin ditawarkan di Akademi Aeroangkasa Sarawak ini bagi melengkapkan keperluan tenaga kerja yang diperlukan dalam industri penerbangan tempatan.

Sejak kursus‑kursus ini mula ditawarkan pada 2024, dua kohort sedang dalam pelaksanaan latihan, manakala bagi kursus berkaitan AME, pengambilan baharu dijangka dibuka pada November akan datang.

Bagi anak‑anak Sarawak yang berminat, rebutlah peluang yang terbuka ini untuk membina asas kukuh dalam industri penerbangan dan memulakan laluan kerjaya yang berimpak tinggi.

Malah, selain yuran pengajian yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak, kemudahan penginapan asrama di Lundu turut disediakan bagi memastikan pelajar dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan.

Dengan model bersepadu ini, laluan daripada pelajar di CENTEXS Lundu kepada AME menjadi lebih jelas dan sistematik.

Usaha yang berkesinambungan antara kerajaan Sarawak dengan kepakaran industri melalui ADC serta jaringan NADI ini memberikan landasan kukuh untuk melahirkan tenaga penyelenggaraan pesawat yang berkemahiran tinggi dan memenuhi standard peraturan penerbangan negara.

Keupayaan AirBorneo untuk menyerap graduan terlatih ini kelak turut mengukuhkan rantaian bakat tempatan, sekali gus menyokong aspirasi Sarawak membangunkan ekosistem penerbangan yang berdikari dan mampan.

Masa depan sedang dibina hari ini.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.
Tags: Mohamad Fadillah Sabali

Continue Reading

Previous: 12 punca utama ralat manusia dalam operasi penyelenggaraan pesawat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.