
MUNICH, Jerman: Mathew Collins, anak kepada pemuzik terkenal Phil Collins, dilaporkan bakal menyertai kelab divisyen ketiga Jerman, 1860 Munich, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Akhbar Bild melaporkan pada Sabtu bahawa Collins dijadual menjalani sesi ujian latihan bersama kelab itu dalam masa terdekat sebelum kemungkinan menandatangani kontrak.
Pemain berusia 21 tahun itu beraksi bersama kelab divisyen kedua Austria, Austria Salzburg, musim lalu namun hanya tampil dalam lima perlawanan.
Kelab dari Munich itu sedang membuat persiapan menghadapi musim baharu di tengah-tengah ketidaktentuan kewangan yang besar.
Mereka dilaporkan memerlukan €2.7 juta (AS$3.15 juta) menjelang 3 Julai untuk memperoleh lesen baharu bagi beraksi dalam divisyen ketiga. Sekiranya gagal mendapatkan dana itu, bekas kelab Bundesliga berkenaan berdepan risiko tersingkir ke divisyen keempat.
Phil Collins, 75, merupakan bekas pemain dram dan vokalis utama kumpulan rock Genesis. Beliau juga menikmati kerjaya solo yang amat berjaya.
Collins pernah memenangi anugerah Oscar serta beberapa Anugerah Grammy, dan merupakan ahli Rock and Roll Hall of Fame.
-Bernama