SIBU: Golongan muda perlu berani bersuara dan menguasai kemahiran komunikasi kerana keupayaan menyampaikan idea dengan jelas bukan sahaja membina keyakinan diri, malah menjadi kunci membuka lebih banyak peluang dalam kehidupan dan kerjaya.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, berkata kemahiran komunikasi berkesan penting kerana keupayaan menyampaikan idea dengan baik mampu mempengaruhi persepsi orang lain terhadap pemikiran, kebolehan dan nilai diri seseorang.
“Bagi pemimpin, komunikasi penting untuk menyampaikan hala tuju, manakala usahawan perlu menggunakannya untuk meyakinkan orang lain terhadap idea mereka.
“Golongan muda pula perlu menguasai kemahiran ini untuk tampil yakin dan memanfaatkan peluang yang ada,” ujarnya ketika merasmikan Latihan Kemahiran Berucap anjuran JCI Seduan di Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCCI), di sini, hari ini.
Menurutnya, seseorang mungkin mempunyai banyak idea, namun sekiranya hanya sebahagian daripadanya berjaya disampaikan, orang lain hanya akan memahami perkara yang mampu dikomunikasikan.
“Oleh itu, kemahiran bertutur dengan baik bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya membantu orang lain memahami pemikiran, kebolehan dan nilai diri seseorang dengan lebih jelas,” katanya.
Tiang berkata, komunikasi berkesan bukan sekadar bergantung kepada kelancaran pertuturan atau penggunaan teknik tertentu, sebaliknya turut memerlukan keikhlasan dalam penyampaian.
“Seseorang boleh belajar mengawal tempo pertuturan, menggunakan bahasa badan dan menyusun kandungan dengan baik, namun tanpa keikhlasan, penyampaian yang indah sekalipun sukar menyentuh hati pendengar,” katanya.
Katanya, kata-kata mudah seperti ‘terima kasih’, ‘saya faham kesukaran anda’ dan ‘mari kita fikirkan penyelesaian bersama’ kadangkala mampu memberi kesan lebih besar berbanding kata-kata yang berbunga-bunga.
“Matlamat tertinggi kemahiran bertutur bukan untuk membuat orang lain menganggap kita pandai bercakap, tetapi membuat mereka berasa bahawa kita memahami mereka,” ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu berkata, kemahiran komunikasi yang baik boleh dibentuk melalui latihan berterusan, termasuk dengan membanyakkan membaca untuk meluaskan pengetahuan, berfikir secara kritis bagi membina hujah yang logik, mendengar untuk memahami perspektif orang lain serta berlatih bagi meningkatkan keyakinan diri.
Beliau turut menggalakkan golongan muda supaya tidak takut untuk bersuara dan berani menyampaikan pandangan.
“Kesilapan boleh diperbaiki dan kemahiran bercakap boleh dipertingkatkan melalui latihan. Namun, jika kita terus berdiam diri kerana takut, kita tidak akan pernah mengetahui sejauh mana kekuatan yang mampu dibawa oleh kata-kata kita,” katanya.
Seramai 40 peserta menyertai Latihan Kemahiran Berucap anjuran JCI Seduan yang berlangsung di SCCCI.
Turut hadir Pengerusi JCI Seduan, Rainie Lau Yi Shan.
Oleh Akun Giman




