
SAN ISIDRO (Argentina): Anak perempuan kepada legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona memberitahu mahkamah bahawa kematian ayahnya “boleh dielakkan” sekiranya doktor yang merawatnya selepas pembedahan menjalankan tugas dengan betul.
Maradona meninggal dunia pada 25 November 2020 di usia 60 tahun ketika sedang menjalani pemulihan di rumah selepas menjalani pembedahan otak bagi membuang darah beku.
Sepanjang hidupnya, beliau bergelut dengan ketagihan kokain dan alkohol selama beberapa dekad.
Seramai tujuh anggota pasukan perubatan kini dibicarakan atas tuduhan kecuaian yang digambarkan oleh pihak pendakwa sebagai “teater ngeri” dalam hari-hari terakhir Maradona, dan jika didapati bersalah, mereka berdepan hukuman penjara sehingga 25 tahun.
Punca kematian Maradona disahkan sebagai kegagalan jantung dan edema pulmonari akut – keadaan di mana cecair berkumpul dalam paru-paru – dua minggu selepas menjalani pembedahan.
“Kalau mereka buat kerja mereka, ini semua boleh dielakkan,” kata anaknya, Dalma Maradona, yang juga plaintif dalam kes itu kepada mahkamah di San Isidro dekat utara Buenos Aires.
“Mereka menipu kami dengan cara paling kejam,” katanya merujuk kepada pasukan perubatan.
Dalma Maradona, 38, memberi keterangan bahawa doktor, Leopoldo Luque, salah seorang tertuduh, meyakinkan keluarganya bahawa rawatan di rumah adalah “satu-satunya pilihan.”
Keluarga diberitahu bahawa segala keperluan akan disediakan, termasuk penjagaan 24 jam dan ambulans yang sentiasa bersiap siaga.
Namun menurut Dalma, perkara itu tidak pernah berlaku.
“Ia hanyalah sebuah rumah di mana, sekali-sekala, seorang doktor datang menjenguknya,” katanya. – AFP