
LAWAS: Anak mangsa, Jamam Tuah, 52 tahun, mengenal pasti bahagian tubuh yang ditemui di tepi sungai sebagai milik bapanya dan telah membuat laporan polis untuk mengesahkan penemuan tersebut.
Mangsa, Tuah Lamat, 80 tahun, dari Kampung Siang-Siang Laut, Jalan Trusan, Lawas, dilaporkan hilang sejak 9 September lalu selepas keluar mandi di jeti berhampiran rumahnya sekitar 7.30 malam.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada 10 September namun mangsa gagal ditemui pada hari pertama kerana keadaan gelap.
Pada malam yang sama, sebahagian tubuh manusia ditemukan di tepi sungai dalam jarak kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa hilang.

Mayat mangsa telah dihantar ke Bilik Mayat Hospital Lawas untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.
Operasi SAR ditamatkan pada 11 September pada 10.30 pagi.
Operasi pemburuan buaya kini dijalankan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) Miri dengan kerjasama Polis Lawas.
Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan aktiviti di sungai dalam radius 3 kilometer di sekitar Kampung Siang-Siang Laut sepanjang operasi berlangsung.