Anak luar bandar digesa lanjut pengajian, kuasai kemahiran – Mong Dagang

Facebook
WhatsApp
DATUK Mong Dagang semasa merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat 2026 anjuran JKKK Rumah Freddy Lani, Empelanjau Asal, semalam. Foto: ADUN Bukit Begunan

LINGGA: Anak-anak luar bandar di Sarawak digesa supaya tidak berhenti setakat pendidikan menengah, sebaliknya terus melanjutkan pengajian atau mengikuti latihan kemahiran bagi membina masa depan lebih cerah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, pendidikan merupakan antara asas penting dalam melahirkan generasi yang mampu bersaing dan merebut peluang pekerjaan dalam ekonomi yang semakin berkembang.

Menurutnya, pendidikan tinggi juga tidak seharusnya dilihat hanya dalam konteks bidang akademik semata-mata kerana pendidikan teknikal serta latihan berasaskan kemahiran mempunyai peranan yang sama penting.

“Anak-anak luar bandar perlu terus melanjutkan pelajaran dan pada masa sama melihat bidang kemahiran sebagai satu pilihan yang mampu membuka peluang kerjaya serta masa depan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat 2026 anjuran JKKK Rumah Freddy Lani, Empelanjau Asal dekat sini, semalam.

Mong berkata, penguasaan kemahiran semakin penting bagi mempersiapkan anak-anak Sarawak menghadapi perkembangan teknologi dan perubahan landskap ekonomi baharu.

Katanya, perkembangan sektor tenaga hijau di Sarawak misalnya dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang memerlukan tenaga kerja berpengetahuan, berkemahiran dan berkeupayaan menyesuaikan diri dengan teknologi baharu.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan peranan kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam memperjuangkan hak serta kepentingan negeri demi memastikan rakyat terus menikmati pembangunan.

Majlis berkenaan berlangsung dalam suasana penuh muhibah dan harmoni dengan menghimpunkan pemimpin, ketua masyarakat, ketua kaum serta penduduk setempat.

Pada majlis sama, Mong mengumumkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada JKKK Rumah Freddy Lani serta RM3,000 kepada Biro Wanita JKKK Rumah Freddy Lani.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM150,000 menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) kerajaan Sarawak bagi kerja menaik taraf serta memasang bumbung Gelanggang Serbaguna JKKK Empelanjau Asal.

Peruntukan tersebut diharap dapat meningkatkan kemudahan masyarakat setempat selain menyediakan ruang lebih selesa untuk penganjuran aktiviti sosial, sukan dan program kemasyarakatan.

Oleh Adi Safarman