Anak kucing ‘terperangkap’ dalam ruang enjin, bomba jadi penyelamat

Facebook
WhatsApp
TERPERANGKAP... Anggota bomba berjaya menyelamatkan anak kucing yang terperangkap dalam ruang enjin kereta dalam kejadian di parkir Emart Tudan, di Miri, hari ini. Foto BBP Lutong

MIRI: Bunyi anak kucing dari ruang enjin sebuah kereta mengundang cemas sebelum tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan haiwan itu di parkir Emart Tudan, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Jugah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.22 petang.

Menurutnya, sebuah jentera bersama anggota bomba kemudian digerakkan ke lokasi dan tiba kira-kira 13 minit kemudian.

“Setibanya di lokasi, anggota mendapati seekor anak kucing terperangkap di ruang enjin kereta milik pemanggil.

ANGGOTA bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan anak kucing yang terperangkap di ruang enjin sebuah kereta di parkir Emart Tudan, Miri, hari ini. Foto BBP Lutong

“Anggota membuat pemeriksaan sebelum menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan haiwan berkenaan,” katanya.

Henry berkata, operasi menyelamat berjalan lancar dan anak kucing itu berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat.

Beliau berkata, haiwan berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pemiliknya selepas berjaya dikeluarkan dari ruang enjin tersebut.

Oleh Liong Chai Ling