SEJAK kebelakangan ini semakin ramai anak Bumi Kenyalang menggapai kegemilangan yang mengharumkan nama Sarawak terutama dalam bidang seni dan sukan negara. Hakikatnya, jika dikira sejak lebih dua dekad lalu, jumlahnya ramai tetapi ada yang masih bertahan lama, ada yang terus tenggelam terutama dalam bidang seni setelah menggegarkan dunia hiburan tanah air buat seketika.
Namun, bagi ahli sukan, seperti juga di mana-mana negara, ‘jangka hayat’ sebagai jaguh sukan tidak panjang terutama apabila menjangkau usia lebih pertengahan 30-an.
Sarawak pernah melahirkan ‘Raja Pecut’ negara, Watson Nyambek yang dikenali dengan jolokan ‘The Flying Dayak’ satu ketika dahulu. Kini sudah berusia 48 tahun dan pada 2006 dilantik jurulatih Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSN). Dia pernah menyertai dua Sukan Olimpik iaitu di Atlanta pada 1996 dan Sydney pada 2000. Malah, pernah bersaing dengan pelari pecut dunia masa itu seperti Carl Lewis dan Ben Johnson.
Begitu juga dengan Mejar Sapok Biki, kini berusia 50 tahun, yang pernah mengharumkan nama negara apabila memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998. Setelah bersara menubuhkan Pusat Pembangunan Tinju Sapok Biki di bawah Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), selain kerap dijemput untuk memberi ceramah dan motivasi mengenai sukan tinju di seluruh tanah air sejak 2001.
Kemudian muncul Pandelela Rinong yang mula mengharumkan nama Malaysia dan Sarawak khasnya pada 2012 lagi apabila mencipta sejarah sebagai atlet wanita pertama negara memenangi pingat Olimpik (gangsa) menerusi acara 10 meter (m) platform individu di London. Terlalu banyak pencapaian cemerlangnya untuk dicatat di sini, meskipun ada pihak kata Ratu Terjun negara itu yang menyambut hari jadi ke-31 Sabtu lalu, kini di penghujung kerjayanya.
Mungkin sebahagian kita sudah lupa nama Bujang Taha, bekas Mr Asia yang juga jaguh bina badan negara. Pada kemuncak kariernya, Bujang memenangi gelaran Mr Asia sebanyak empat kali iaitu pada 1980, 1982, 1983 dan 1986 selain memenangi dua pingat emas pada Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 1977 dan di Jakarta pada 1979. Beliau meninggal dunia pada usia 77 tahun pada Oktober 2014 akibat komplikasi kanser mulut dan paru-paru.
Masih ingat nama James Yaakub? Ya dia adalah pemain bola sepak Sarawak era 1977-1983 yang bermain untuk pasukan kebangsaan selaku penyerang pada Sukan SEA 1977. Ketika itu Malaysia menang pingat emas mengalahkan Thailand 2-0, hasil jaringan Bakri Ibni dan Mokhtar Dahari. Turut bermain ialah Rashid Hassan, Jamal Nasir, Yahaya Jusoh, Santokh Singh, Soh Chin Aun, Shukor Salleh, Abdah Alif, Isa Bakar dan James Wong (dari Sabah). Dua James dari Borneo ini menempa nama di peringkat nasional.
DULU DAN SEKARANG
Zaman sekarang Sarawak melahirkan jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin yang sekali lagi mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila muncul juara di Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Dunia 2024 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jumaat lalu. Brendon Ting Li King juga melakar kejutan meraih emas acara lompat kijang Kejohanan Olahraga Kuala Lumpur All Comers 2024 di Kuala Lumpur minggu lalu. Pada kejohanan sama, Brendon Ting Li King melakar kejutan meraih emas acara lompat kijang selain pemegang rekod kebangsaan lontar peluru Jonah Chang Rigan yang merangkul pingat emas.
Bertrand Rhodict Lises pula adalah wakil tunggal terjun negara untuk Olimpik Paris nanti.
Dalam dunia hiburan pula, Sarawak turut melahirkan nama besar seperti Bob Yusof, Dayang Nurfaizah, Hafiz Suip, Anding Indrawani Zaini yang lahir melalui rancangan realiti televisyen. Dayang Nurfaizah tiga kali memenangi Anugerah Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL).
Hafiz Suip adalah juara Akademi Fantasi (AF) musim ke-7 yang pernah masyhur dengan lagu Bahagiamu Deritaku dan Awan Nano.
Sharifah Zarina adalah penyanyi terkenal dengan lagu ‘Langit Ketujuh’ manakala Datin Seri Camelia atau penuhnya Dayang Nur Camelia Abang Khalid, penyanyi, pelakon dan model yang popular menerusi lagu ‘Rindu Padanya’.
Anda masih ingat nama Safar Ghafar? Dia pernah meraih gelaran naib juara Bintang RTM 1983 yang ketika itu dimenangi Juliza Adzlizan Abdul Rafar. Safar menghasilkan beberapa album bersama lagu popular antaranya, Hanya Seminit dan Mun Masih Mudak.
Baru-baru ini, Sarawak melahirkan Juara Bintang RTM 2024 Roziena Ixzy Halix atau lebih dikenali sebagai Roxy Ixzy. Minggu lalu pula, nama Sarawak terus unggul apabila lagu berjudul Hasrat ciptaan dan nyanyian Amir Jahari diumumkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-38 dengan membawa pulang trofi dan wang tunai RM100,000.
CATAT NAMA DI HOLLYWOOD
Amir atau nama sebenar, Mohamad Amirullah Jahari, 32, sebenarnya salah seorang peserta Akademi Fantasia musim kesembilan pada 2011 dan dia hanya bertahan selama tiga minggu dalam akademi apabila konsert minggu ketiga dia digugurkan bersama seorang lagi pelajar AF9 iaitu Ayda Jebat.
Selain itu, kita ada KK Moggie, yang menempa nama di Hollywood melalui filem Anna and the King (1999), The Sleeping Dictionary (2003) dan Mercy (2009).
Begitu juga Henry Ewan Golding, 37, kacukan Iban-British yang menempa nama di persada dunia perfileman Hollywood melalui filem Crazy Rich Asians, A simple Favor, Last Christmas. Beliau pernah menjadi pengacara The Travel Show BBC pada 2014.
Yana Samsudin, kacukan Melayu-Bidayuh adalah pelakon yang cukup dikenali ramai selain Tony Eusoff, pelakon dan pengacara model.
Alena Murang, berdarah campuran Kelabit-British-Itali pernah memenangi
‘Best Styling Award’ di Buenos Aires Music Video Festival Argentina.
Alvin Wee, 36, pula menjadi rakyat Malaysia pertama yang berjaya mengondol kemenangan dalam Anugerah Cinema Audio Society (CAS) 2022 di pentas Hollywood. Anak kelahiran Kuching itu berjaya memenangi kategori Pencapaian Cemerlang Adunan Bunyi bagi karyanya dalam siri animasi Disney, Encanto.
Kini sebut saja nama Andrewson Ngalai pastinya banyak yang kenal setelah lagu ‘Bekikis Bulu Betis’ diminati seluruh negara sehingga menarik perhatian bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika program Kembara Kenali Borneo.
Ramai lagi yang menyinar di peringkat nasional dan antarabangsa, yang mungkin terlepas pandang untuk dimasukkan di sini tetapi jasa mereka semua tetap dikenang.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.