SARIKEI: Seorang lelaki warganegara Myanmar yang terjatuh dari sebuah kapal di jeti Susur Jambu di sini pada Selasa lalu, ditemui meninggal dunia, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, mayat mangsa ditemui oleh orang awam terapung di Muara Payang pada 9.00 pagi, kira-kira 15 Kilometer (KM) dari lokasi asal mangsa terjatuh.
“Mayat tersebut dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) untuk proses pengecaman.
“Keadaan mayat tidak lengkap dengan kaki kiri dan tangan kanan tiada, dipercayai akibat gigitan haiwan,” katanya.
Terdahulu, mangsa dikenali sebagai Min Wai Lin, 45 tahun, dilaporkan hilang ketika kapal tersebut hendak berlabuh di jeti tersebut untuk memunggah batu pada Selasa lalu.
Kejadian berlaku pada 6.12 pagi itu menyebabkan dua orang rakan sekerja mangsa, Abdul Khafi dan Naing Win Soe, menyedari kehilangan Min Wai Lin.
“Rakan sekerja mangsa cuba menyelamatkannya dengan membaling alat penyelamat pelampung jangka hayat dan menurunkan bot ke sungai, namun usaha tersebut gagal apabila mangsa tenggelam,” katanya.
Dalam pada itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dimulakan sejurus selepas kejadian dilaporkan.
Pada hari ketiga operasi, anggota SAR menggunakan kaedah pencarian permukaan air dalam radius 5KM dari lokasi mangsa jatuh.
Operasi SAR tersebut melibatkan kekuatan seramai 29 orang termasuk anggota bomba dan agensi-agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pasukan Perkhidmatan Penyelamat Nyawa (LSS).