Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Anak hilang kaki ketika cari rezeki, ibu rayu pelaku langgar lari bertanggungjawab
  • SEMASA

Anak hilang kaki ketika cari rezeki, ibu rayu pelaku langgar lari bertanggungjawab

Utusan Sarawak 3 hours ago

KUCHING:  Luluh hati melihat anak lelaki tunggalnya diuji dengan kehilangan kaki kiri akibat kejadian langgar lari, seorang ibu merayu kepada pemandu kenderaan yang terlibat dalam kejadian yang berlaku pada hujung Mac lepas untuk tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

Afidah Suhaili, 68, berkata keluarganya tidak berniat untuk berdendam, sebaliknya hanya berharap individu berkenaan bertanggungjawab atas kejadian yang menimpa anaknya, Putra Aqmal Syukrie Sabli, 24.

“Ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari rumah berdekatan dengan tempat kejadian … pelaku kelihatan turun dari kereta, kemudian dia terus memandu dan pergi begitu sahaja. Nombor plat kereta tidak dapat dikenal pasti sebab tak jelas.

“Kami bukan mahu berdendam, cuma berharap dia tampil dan bertanggungjawab supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Jalan Bako, baru-baru ini.

Beliau turut menyeru mana-mana individu yang mempunyai rakaman CCTV atau kamera papan pemuka (dashcam) berkaitan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan polis.

Afidah berkata sebagai ibu, kejadian itu memberikan kesan mendalam kepada keluarga apabila kehidupan usia muda anak bongsunya seolah-olah telah dirampas berikutan kemalangan yang berlaku pada 30 Mac itu.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam, Putra Aqmal yang bekerja sebagai penghantar makanan sedang menghantar pesanan dari Jalan Song ke Stutong, dekat sini, sebelum sebuah kenderaan dipercayai jenis Toyota Avanza tiba-tiba membelok masuk ke simpang kanan jalan.

Menurut Putra Aqmal, dia cuba mengelak kenderaan tersebut, namun bahagian kaki kirinya telah bergesel dengan sisi kereta berkenaan sebelum terjatuh di atas jalan raya.

“Saya menjerit meminta tolong dan masih dalam keadaan sedar ketika itu … saya menunggu kira-kira sejam sebelum ambulans tiba,” katanya dan menambah pada hari kejadian, dia baru sahaja kembali bekerja semula selepas bercuti Aidilfitri. 

Afidah berkata meskipun anaknya tidak terputus kaki sewaktu insiden itu berlaku, beliau sekeluarga menunggu hampir 15 jam bagi Putra Aqmal menjalani pembedahan bermula pada 4.30 pagi hari berikutnya.

Ibu kepada lima orang anak itu berkata doktor pada mulanya cuba menyambung semula urat pada kaki anaknya, namun akhirnya memutuskan amputasi terpaksa dilakukan bagi menyelamatkan nyawa.

Dalam pada itu, Putra Aqmal yang merupakan alumni pelajar tahfiz Madrasah Darul Uloom Islamiyyah Kuching dan bekas imam sementara di Surau Mahmudi, Kampung Gita berkata dia reda dengan ujian yang dihadapi.

“Allah belum ambil nyawa saya, cuma kaki saya sahaja,” katanya yang sebelum ini memperoleh kira-kira RM2,000 sebulan menerusi pekerjaan menghantar makanan, selain turut mengajar anak-anak kecil mengaji al-Quran.

Afidah yang juga suri rumah sepenuh masa berkata anaknya masih menjalani rawatan susulan dan pemulihan di hospital, sebelum menerima bantuan pemasangan kaki palsu berjumlah RM50,000 dalam tempoh beberapa bulan lagi.

“Kami dalam proses menghantar borang bantuan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat … ada juga sumbangan daripada wakil rakyat dan orang sekeliling,” katanya dan menambah perbelanjaan untuk ubat-ubatan serta keperluan tambahan anaknya dianggarkan RM1,000 sebulan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

“Tiada laporan polis dibuat oleh pemandu kenderaan terlibat sehingga hari ini dan setakat ini, tiada saksi tampil membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga ini bagi meringankan beban boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB Bank bernombor 7634990678 atas nama Aqma Syaidatulfieka Sabli (kakak mangsa). – Bernama

Continue Reading

Previous: Isu status Bumiputera perlu ditangani secara berfakta, bukan polemik politik
Next: Sarawak, Jepun tingkat kerjasama dalam bidang pendidikan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.