
DEBAK: Seorang anak yang terpisah hampir empat dekad daripada bapa kandungnya merayu bantuan orang ramai untuk menjejaki mereka dalam usaha mengembalikan semula ikatan kekeluargaan yang telah hilang sejak kecil.
Menurut Safie Hassan dari Kampung Babu Debak, dia memohon kerjasama masyarakat untuk membantu mencari Senly Bari Babang, atau nama Islamnya Amin Abdullah, yang kali terakhirnya beralamat di Nanga Bejait, Oya, Sibu.
Anak lelaki Amin, Basri Amin, kini berusia 39 tahun, amat berharap dapat menemui bapa kandungnya selepas hampir 40 tahun terpisah tanpa khabar berita.
Untuk memudahkan pencarian, Safie menjelaskan bahawa Amin Abdullah merupakan adik iparnya.
Beliau turut menyenaraikan nama ibu bapa kepada Amin, iaitu Bari Babang (ayah) dan Sinta Bansa (ibu), sebagai rujukan tambahan kepada sesiapa yang mungkin pernah mengenali keluarga tersebut.
“Segala usaha rakan-rakan semua untuk membantu anak ini menemukan ayah kandungnya amat saya hargai,” kata Safie.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Safie Hassan di talian 011-2523 0224.
Oleh ADI SAFARMAN