
MIRI: Seekor anak buaya sepanjang kira-kira 1.2 meter berjaya ditangkap pasukan bomba selepas reptilia itu ditemui berada di dalam longkang sebuah kawasan perumahan di Jalan Perkasa Utama di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 10.39 malam itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong dikerahkan ke lokasi selepas menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan kehadiran buaya berkenaan.
Ketua BBP Lutong Henry Jugah berkata, sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi mengesahkan terdapat seekor anak buaya berada di dalam longkang berhampiran kawasan perumahan.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bersama dua anggota Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) kemudian menjalankan operasi menangkap reptilia itu menggunakan penjerut khas.
“Buaya tersebut berjaya ditangkap sepenuhnya tanpa sebarang insiden tidak diingini sebelum diserahkan kepada pihak SFC untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi yang melibatkan lima anggota BBP Lutong itu tamat sepenuhnya pada 11.12 malam.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan sepanjang operasi berkenaan.
Oleh Liong Chai Ling