
KUCHING: Seekor anak buaya berjaya ditangkap selepas ditemui berada dalam longkang di hadapan sebuah rumah di No. 60, Lorong 8B Kuching City Mall, di sini pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, Mohd Norarbi Jamain memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.04 pagi sebelum mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Sentosa ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati terdapat seekor anak buaya berada dalam longkang di hadapan rumah pemanggil.
“Pasukan kemudian menggunakan peralatan penjerut untuk menangkap reptilia tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anak buaya berkenaan dibawa balik ke balai sebelum diserahkan kepada pihak Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) untuk tindakan lanjut.
Oleh Amanda L.