Anak badak air keturunan Escobar mati selepas diselamatkan

Facebook
WhatsApp
GAMBAR edaran Cornare bertarikh 4 Ogos 2026 menunjukkan pegawai dan penduduk membantu anak badak air yang diselamatkan nelayan sebelum dibawa ke Taman Tema Hacienda Nápoles untuk pemeriksaan kesihatan di Puerto Triunfo, Antioquia, Colombia. Foto AFP

BOGOTÁ, Colombia: Seekor anak badak air yang merupakan keturunan daripada kumpulan badak air milik bekas raja dadah Colombia, Pablo Escobar, mati selepas diselamatkan di barat laut Colombia, menurut sebuah pertubuhan alam sekitar kepada AFP.

Colombia kini mempunyai kira-kira 200 ekor badak air invasif yang hidup bebas di habitat liar, menurut Kementerian Alam Sekitar negara itu.

Kesemua haiwan berkenaan berasal daripada kumpulan badak air yang dibawa masuk ke Amerika Selatan oleh Escobar, sekali gus menjadikan Colombia mempunyai koloni badak air terbesar di luar Afrika.

Pihak berkuasa menyelamatkan seekor anak badak air berusia kira-kira 15 hari yang mengalami kekurangan zat makanan selepas ditemui nelayan di tebing sungai tanpa ditemani ibunya.

PETUGAS memberikan rawatan kepada anak badak air yang diselamatkan nelayan sebelum dibawa ke Taman Tema Hacienda Nápoles untuk pemeriksaan kesihatan di Puerto Triunfo, Antioquia, Colombia. Foto AFP

Doktor veterinar daripada pertubuhan alam sekitar Cornare berkata, anak badak air berkenaan dibawa ke pusat rawatan dalam keadaan mengalami dehidrasi kronik, kekurangan zat makanan serta masalah gastrousus akut yang memburukkan lagi keadaan kesihatannya.

“Walaupun pelbagai usaha menyelamat dan rawatan rehidrasi dilakukan, haiwan itu tidak menunjukkan tindak balas yang memuaskan terhadap rawatan dan akhirnya mati,” katanya.

Sebelum itu, anak badak air berkenaan dipindahkan ke pusat perlindungan badak air di Hacienda Nápoles, bekas estet milik Escobar yang kini dijadikan taman tema.

Escobar membawa masuk empat ekor badak air pada era 1980-an untuk ditempatkan di zoo persendirian di estet berkenaan.

ANAK badak air dibawa ke pusat rawatan dalam keadaan mengalami dehidrasi kronik, kekurangan zat makanan serta masalah gastrousus akut yang memburukkan lagi keadaan kesihatannya. Foto AFP

Selepas ketua Kartel Medellín itu terbunuh pada 1993 ketika cuba melarikan diri daripada polis, haiwan berkenaan terlepas dan mula membiak di sepanjang Sungai Magdalena.

Kehadiran spesies itu mengganggu keseimbangan ekosistem selain pernah menyebabkan serangan terhadap penduduk tempatan.

Kini, badak air berkenaan dikategorikan sebagai spesies invasif yang mengancam kestabilan ekosistem semula jadi.

Selepas usaha mengawal populasinya menerusi kaedah pensterilan tidak membuahkan hasil, kerajaan Colombia tahun ini meluluskan pelan untuk menghapuskan kira-kira 80 ekor badak air tersebut. – AFP