Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Amorim mahu United lebih klinikal selepas perlawanan ‘gila’ menentang Bournemouth
  • SUKAN

Amorim mahu United lebih klinikal selepas perlawanan ‘gila’ menentang Bournemouth

Utusan Sarawak 9 hours ago
MAN Utd gagal menang untuk perlawanan liga di laman sendiri buat kali ketiga berturut-turut. Foto AFP

MANCHESTER (United Kingdom): Pengurus Manchester United, Ruben Amorim, berkata pasukannya berjaya menyemarakkan sokongan penyokong di Old Trafford dalam keputusan seri mendebarkan 4-4 menentang Bournemouth namun perlu lebih kejam untuk menukar keputusan seri kepada kemenangan.

United mendahului pasukan pelawat sebanyak tiga kali pada awal pagi tadi,  dalam apa yang dianggap sebagai persembahan serangan terbaik di bawah kendalian Amorim setakat ini.

Matheus Cunha menjaringkan gol keduanya bersama kelab, Bruno Fernandes menyempurnakan sepakan percuma cantik, manakala Amad Diallo, menutup kempen sebelum menyertai Piala Negara-Negara Afrika dengan gol pembukaan.

Namun, kelemahan pertahanan United tanpa gandingan berpengalaman Harry Maguire dan Matthijs de Ligt terserlah apabila mereka gagal meraih kemenangan untuk perlawanan liga di laman sendiri buat kali ketiga berturut-turut.

Bulan lalu, The Red Devils tewas 0-1 di Old Trafford kepada Everton yang beraksi dengan 10 pemain, selain melepaskan kelebihan untuk seri 1-1 menentang West Ham United yang bergelut.

Namun Amorim lebih meluahkan kekecewaan terhadap peluang yang disia-siakan pada separuh masa pertama yang dikuasai pasukannya.

“Kami benar-benar kecewa. Perlawanan yang gila. Ia mungkin kelihatan seperti kami kehilangan dua mata pada separuh masa kedua, tetapi saya rasa kami kehilangannya pada separuh masa pertama,” kata jurulatih dari Portugal itu.

“Kami mendominasi dan mencipta terlalu banyak peluang. Sepatutnya kami masuk ke bilik persalinan dengan keputusan yang berbeza.

“Pada akhirnya kami layak mendapat lebih. Ia perlawanan yang menyeronokkan untuk semua di rumah.

“Penyokong, khususnya di Old Trafford, mahu menang tetapi mereka juga mahu diilhamkan dengan permainan bola sepak yang baik. Kami melakukannya dengan baik pada beberapa ketika.

“Ia persembahan yang baik, tetapi kami perlu lebih klinikal kerana kami mencipta begitu banyak peluang.”

Satu mata itu menaikkan United ke tangga keenam Liga Perdana Inggeris hanya dua mata di belakang kelompok empat teratas.

Anak buah Amorim sebenarnya boleh berada dalam kedudukan yang jauh lebih kukuh sekiranya mereka berjaya menamatkan beberapa perlawanan yang didahului musim ini.

Namun mereka juga berhutang budi kepada penjaga gol Senne Lammens yang mengekalkan rekod luar biasa – tidak tewas dalam perlawanan liga di laman sendiri apabila mendahului pada separuh masa sejak 1984 – selepas melakukan dua aksi menyelamat pada masa kecederaan daripada David Brooks.

“Lammens beraksi sangat baik. Kedua-dua pasukan mempunyai peluang, tetapi kami mencipta lebih banyak,” tambah Amorim.

“Kami perlu mencari jalan untuk menutup perlawanan kerana perkara ini berlaku berkali-kali.

“Itu sebahagian daripada proses. Kami cuba melakukan yang terbaik, tetapi pada beberapa ketika ia masih belum mencukupi.” – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Liek Hou dinobat Pemain Para Lelaki Terbaik Dunia 2025
Next: Sukan Olimpik Khas Sibu anjur bola keranjang Unified pertama

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.