
Kekalahan kepada Grimsby memberi tamparan hebat buat Amorim. Foto AFP
LONDON: Ruben Amorim mengakui beliau pernah terfikir untuk meninggalkan Manchester United dan mendedahkan kadangkala beliau ‘benci’ pemainnya.
Amorim yang semakin tertekan mencetuskan spekulasi beliau sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan Old Trafford susulan kekalahan memalukan United dalam pusingan kedua Piala Liga kepada pasukan divisyen keempat, Grimsby, semalam.
Kekalahan menerusi penentuan sepakan penalti kepada The Mariners menyebabkan Amorim berkata “sesuatu perlu diubah” selepas permulaan musim yang perlahan.
Pasukan Amorim tewas kepada Arsenal dan seri dengan Fulham dalam dua perlawanan awal Liga Perdana Inggeris (EPL), sebelum kekalahan mengejut kepada Grimsby.
Bekas jurulatih Sporting Lisbon berusia 40 tahun itu baru sahaja mengambil alih United sejak November lalu, namun kini sudah berada dalam tekanan besar selepas musim lalu menyaksikan prestasi liga terburuk kelab itu sejak 1973-74.
Satu lagi keputusan buruk menentang pasukan baru naik, Burnley, pada Sabtu ini hanya akan meningkatkan tekanan terhadap Amorim, walaupun beliau dikatakan masih mendapat sokongan pemilik bersama United, Jim Ratcliffe, setakat ini.
“Setiap kali kami kalah macam itu, saya akan rasa begitu. Saya akan kata kadangkala saya benci pemain saya, kadangkala sayang mereka, kadangkala pertahankan mereka -dan kadangkala saya rasa saya tak boleh,” kata Amorim kepada wartawan hari ini.
“Inilah cara saya, dan saya akan kekal begitu. Saya rasa begitu pada waktu itu, saya sangat kecewa, sangat marah.
Kadangkala saya mahu berhenti, kadangkala mahu berada di sini selama 20 tahun.
“Kadangkala suka bersama pemain saya, kadangkala tak mahu bersama mereka. Saya perlu perbaiki perkara itu, ia akan sukar, tapi sekarang saya fokus pada perlawanan seterusnya.”
Amorim berkata, dia memang terfikir untuk berundur selepas kekalahan memalukan kepada Grimsby, tetapi kini dia sudah kembali fokus untuk membawa pasukannya keluar daripada kemerosotan ini.
“Saya rasa begitu selepas perlawanan. Tapi saya tak rasa macam itu sekarang. Itulah bahagian paling sukar selepas kekalahan,” katanya.
“Kadangkala bukan keputusan yang menyakitkan, tapi cara kami kalah atau seri dalam perlawanan itu. Itu yang sukar diterima.
“Sebab kami boleh bermain dengan lebih baik. Sekarang ini, kami sekadar mengisi posisi, berebut bola, berlari, semua perkara kecil ini, kadangkala kami longgar sedikit.
“Perkara positif ialah kami ada perlawanan seterusnya untuk tingkatkan tahap itu. Saya tahu ada ramai berpengalaman bercakap tentang bagaimana saya patut kendalikan media, supaya lebih tenang, lebih konsisten. Tapi saya takkan jadi begitu.”
Kekalahan kepada Grimsby memberi tamparan hebat buat Amorim selepas beliau berbelanja £200 juta (RM1.137 bilion) semasa pra-musim untuk membawa masuk penyerang Benjamin Sesko, Bryan Mbeumo, dan Matheus Cunha.
Pembaharuan Amorim dilakukan selepas United tewas kepada Tottenham, yang juga bergelut musim lalu, dalam final Liga Europa, satu kekalahan mengecewakan yang menyebabkan mereka terlepas tempat ke Liga Juara-Juara.
Jurulatih dari Portugal yang sebelum ini dianggap berprofil tinggi itu mengakui terkejut dengan kegagalan United untuk menunjukkan peningkatan.
“Saya rasa kami menjalani pra-musim yang sangat baik, kami bermain dengan lebih baik dan lebih konsisten,” kata Amorim.
“Kami bermain dengan teruk selama 30 minit menentang Fulham, dan prestasi seperti menentang Grimsby benar-benar mengecewakan saya dalam segala hal.
“Tapi sekarang ia adalah perlawanan baru dan kami fokus ke arah itu.” – AFP